Jegan (tengah) menunjukkan lori yang diubah suai bagi kegiatan seludup diesel yang dirampas pihaknya.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penyeludupan diesel selepas menahan seorang lelaki serta merampas empat buah lori dalam dua serbuan berasingan.

Serbuan Ops Tiris selama dua hari bermula Sabtu lalu turut membawa kepada rampasan berjumlah RM133,890.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan pertama di Bandar Perda di sini pUKUL 3 petang membawa kepada rampasan sebuah lori tujuh tan berisi 6,000 liter minyak diesel bernilai RM73,500.

Jegan.

“Bagaimanapun, pemandu lori bertindak melarikan diri dengan meninggalkan lori terserbut berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Perda selepas menyedari pegawai kita mengekorinya.

Ketua Sektor Operasi KPDN Pulau Pinang, Amir Abdullah menunjukkan tangki khas diubah suai bagi mengeluarkan diesel yang diseludup.

“Semakan mendapati lori tersebut diubah suai dengan bahagian belakangnya ditempatkan satu tangki khas bagi mengisi minyak diesel.

“Siasatan juga mendapati suspek akan membeli bahan api itu di beberapa stesen minyak kemudian kumpul di tempat penyimpanan sementara sebelum dijual kepada pihak ketiga,” katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN di Bukit Minyak di sini hari ini.

Menurut Jegan, serbuan kedua pula dilakukan di Sungai Bakap, Nibong Tebal yang membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 25 tahun serta tiga buah lori.

“Sebanyak 4,600 liter diesel bernilai RM60,390 dirampas dalam tangki khas yang ditempatkan dalam tiga lori tersebut.

Jegan (kanan) melihat lori berisi diesel yang dirampas pihaknya.

“Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jegan memaklumkan sindiket penyeludupan diesel di negeri itu kini semakin agresif apabila setiap kegiatan mereka dilumpuhkan KPDN.

“Sindiket ini sudah mula menempatkan tonto bagi mengawasi pergerakan pegawai kita apabila mereka lihat keseriusan kita menangani kegiatan penyeludupan bahan api.

“Apa yang boleh saya kongsikan bagi kes pertama, pihak trak tunda diugut sindiket apabila kita minta mereka tunda kenderaan rampasan ke stor Ekshibit,” kata Jegan. – MalaysiaGazette