Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat terus menurun kepada 3,086 orang setakat 8 malam ini, berbanding 5,667 orang yang direkodkan pada 4 petang tadi susulan penutupan 13 pusat pemindahan sementara (PPS), selepas air banjir surut.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan antara PPS yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Senggarang, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Li Chun dan SK Sri Pandan.

Menurut JPBN penutupan PPS tersebut, 25 PPS yang masih beroperasi dan menempatkan 863 keluarga.

“Tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ialah SK Seri Medan (365), diikuti Sekolah Agama Seri Medan (361) dan SK Taman Seri Kota, Yong Peng (258),” menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan, malam ini.

Cuaca di sembilan daerah pada malam ini dilaporkan cerah kecuali Muar yang dijangka hujan, manakala tiada sungai yang direkodkan berada pada paras bahaya. – BERNAMA