Seorang jemaah hadir untuk menunaikan solat Jumaat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 JULAI 2021

ISLAMFOBIA bukan lagi fenomena asing mutakhir ini. Walaupun istilah islamofobia ini hanya muncul pada abad ke-20, namun ia merupakan suatu ideologi yang telah wujud berabad lamanya dengan elemen kebencian dan diskriminasi ke atas penganut agama Islam dan mereka yang mengamalkan Islam.

Kebencian terhadap Islam telah bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Kaum Quraish merupakan kumpulan pertama yang menghina baginda dan mempersoalkan ajaran Islam yang bertentangan dengan kepercayaan mereka. Kritikan terhadap baginda masih berterusan setelah baginda wafat, dan sadisnya, kes penghinaan terhadap baginda masih terjadi sehingga abad ke-21 kini.

Antara insiden penting berbaur Islamofobia adalah isu karikatur Nabi Muhammad yang digambarkan sebagai pengganas pada 2005 oleh Jyllands-Posten; program komedi televisyen animasi Amerika yang menggambarkan Nabi SAW sebagai watak superhero dalam rancangan South Park pada 2006; akhbar harian Perancis, Charlie Hebdo yang memaparkan kartun Nabi SAW termasuk karikatur bogel pada 2015; Presiden Perancis, Emmanuel Macron berikrar mempertahankan kartun yang menggambarkan Nabi SAW yang dilukis oleh Samuel Paty yang telah dibunuh pada 2020; dan Naveen Kumar Jindal yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi SAW dan isteri baginda, Aisyah dalam sebuah program debat di India pada 2022.

Bukan itu sahaja, insiden yang melibatkan pembakaran naskhah al-Quran juga telah berulang kali dilaporkan. Kes terkini tahun 2023 adalah melibatkan Rasmus Paludan dan Edwin Wagensveld yang bertindak membakar al-Quran di Sweden, Belanda dan Denmark sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Hakikatnya, kes yang melibatkan Islamofobia bukanlah khusus kepada penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW atau pembakaran kitab suci al-Quran semata-mata, tetapi ia terjadi dalam pelbagai cara. Ia juga muncul dalam bentuk kebencian yang disuntik bahawa orang beragama Islam adalah jahat dan ganas.

Mengenal pasti punca Islamofobia

Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, kemunculan Islamofobia adalah disebabkan beberapa faktor dalaman dan luaran yang berkemungkinan berpunca sama ada oleh mereka yang bukan beragama Islam atau mereka yang beragama Islam itu sendiri.

Tragedi 11 September, misalnya, adalah serangan yang dirancang oleh golongan bukan Islam untuk mewujudkan sentimen bahawa orang Islam adalah pengganas. Tetapi tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir orang Islam yang menggunakan keganasan sehingga melahirkan perasaan takut yang melampau dalam kalangan orang bukan Islam, seperti kemunculan kumpulan al-Qaeda dan ISIS di negara Timur Tengah.

Begitu juga faktor dalaman yang mencetuskan gejala Islamofobia berkemungkinan disebabkan pandangan skeptikal yang wujud untuk menerima perbezaan amalan agama Islam dan bukan Islam. Keegoan dan keengganan untuk menghormati perbezaan agama akhirnya membentuk kebencian ke atas sesuatu agama.

Disebabkan itu, terdapat pandangan bahawa kewujudan Islamofobia adalah disertai dengan prasangka negatif dan prejudis terhadap ajaran yang diamalkan oleh orang Islam. Ia berpunca kerana kekurangan ilmu dan maklumat tentang Islam yang tidak boleh dinilai hanya melalui penganutnya. Sikap berat sebelah juga menjadi punca utama yang menyukarkan untuk Islam diterima secara positif apabila sisi negatif orang Islam seringkali menjadi permainan media sama ada dalam aspek penerbitan, pendigitalan, dan perfileman.

Kesemua faktor yang menyumbang ke arah Islamofobia bergabung dan berterusan dari satu generasi ke generasi yang lain sehingga menyebabkan propaganda anti-Islam dan Muslim sukar untuk dihentikan.

Mencegah Islamofobia

Walaupun begitu, gejala Islamofobia tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa usaha pencegahan. Ini adalah kerana Islamofobia berlaku bukan sahaja di negara majoriti bukan Islam, tetapi juga wujud dalam negara yang majoritinya beragama Islam.

Namun persoalannya, adakah sentimen Islamofobia boleh dihapuskan melalui demonstrasi dan protes jalanan sahaja? atau melalui boikot produk keluaran negara-negara yang menghina agama Islam? Tindakan ini sedikit sebanyak adalah usaha menyatakan bantahan terhadap Islamofobia, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai solusi yang terakhir.

Pastinya, berdiam diri bukanlah solusi. Justeru, setiap Muslim harus bersatu meleraikan sebarang konflik yang terjadi secara berhikmah. Ia bertepatan dengan kaedah yang diterapkan dalam al-Quran, firman-Nya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik…” (Surah al-Nahl: 125).

Secara tuntasnya, Islamofobia perlu dicegah daripada akar umbi yang bermula daripada sikap orang Islam sendiri. Walaupun agama tidak boleh diukur seperti mana tidak boleh menilai sebuah buku melalui kulit buku, tetapi setiap Muslim bertanggungjawab memaparkan keindahan Islam sebagai agama rahmah dan universal kepada semua lapisan masyarakat.

Usaha mencegah Islamofobia juga adalah tanggungjawab semua pihak untuk membina kefahaman yang komprehensif tentang ajaran Islam yang sebenar; memperkasa dialog di antara masyarakat berbilang agama dan bangsa; menguatkuasa undang-undang yang mengekang keganasan terhadap penganut agama dan mengawal kebebasan media; serta menganjurkan kempen kesedaran untuk menghormati perbezaan di antara agama.

Sabda Nabi SAW: “Islam bermula sebagai (sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang) asing seperti awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu” (HR Muslim). Oleh itu, usaha yang berterusan untuk mempertahankan agama yang dianggap asing ini adalah tanggungjawab bersama. Tindakan kita sebagai Muslim akan menentukan agar Islam dipandang sebagai agama yang disegani, bukan sebagai agama yang ditakuti.

Oleh: Dr. Nur Saadah Hamisan@Khair
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia