Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR –  Cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman bank dengan mencagar wang caruman mereka tidak bercanggah dengan Seskyen 51, Akta KWSP.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah membawa perkara itu kepada pihak KWSP dan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat undang-undang berkenaan cadangan tersebut.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, kepentingan peminjam masih dipelihara melalui kaedah berkenaan apabila dividen masih diterima dalam KWSP walaupun diberikan cagaran.

“Tentunya dari segi penasihat undang-undang KWSP dan Peguam Negara telah dirujuk dan tidak ada percanggahan dengan Seksyen 51.

“Pada masa sama, kepentingan peminjam itu dipelihara umpamanya dividen diteruskan walaupun cagaran, contoh RM50,000 sebagai pinjaman tetapi dividen akan diberi penuh ikut kumpulan asal dan tidak akan dipotong.

“Jadi, KWSP merasakan dalam beberapa tahun, pulangan itu dapat diperolehi. Kalaulah ada jumlah kecil yang gagal membayar, ia tidak akan mengesankan parah sebab jumlah induk dan dividen sudah ditambah.

“Jadi potongan dari sudut dividen. Risiko itu mengikut pemahaman saya sangat minima,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai adakah kaedah cagaran itu melanggar Akta KWSP dan sama ada Perdana Menteri mendapatkan nasihat Peguam Negara mengenai hal berkenaan.

Anwar menambah, cadangan cagaran KWSP itu bukan satu-satunya usaha kerajaan untuk membantu rakyat yang memerlukan.

“Kita juga mencari jalan lain untuk membantu dan contohnya, nelayan dan pekebun kita bantu secara berasingan untuk mengurangkan beban mereka selain bantuan kepada penjawat awam.

“Jangan anggap KWSP itu sebagai satu sahaja kaedah meringankan beban mereka,” katanya.

Anwar turut memberitahu, bilangan ahli KWSP berumur bawah 55 tahun dengan simpanan kurang daripada RM10,000 mencecah 6.7 juta.

Menurut beliau, majoriti angka itu adalah dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera yang secara purata median mempunyai RM4,937 sahaja dalam simpanan.

Sebelum ini ketika sesi penggulungan usul Belanjawan 2023, Anwar memberitahu, kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Beliau berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

“Prinsip saya ialah wang KWSP adalah untuk simpanan hari tua dan kita beri kelonggaran zaman Covid-19, malah negara yang memberi kelonggaran sama juga sudah membatalkan kaedah itu.

“Tetapi saya masih mendengar pandangan, oleh itu saya cadangkan untuk memperkenalkan satu kaedah bagi permudahkan untuk orang terdesak supaya KWSP memberikan ruang bagi pencarum yang mempunyai wang untuk membuat pinjaman bank dengan cagaran daripada agensi itu,” katanya. – MalaysiaGazette