Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Jumlah hari penginapan yang ditempah di Malaysia melalui Airbnb telah meningkat dua kali ganda pada tahun lepas berbanding tahun 2020, dipacu oleh pelancongan domestik.

Data ini menunjukkan rakyat Malaysia lebih mengutamakan pelancongan domestik, dengan Kuala Lumpur menduduki tempat teratas, diikuti oleh Pulau Pinang, Kota Bharu, Petaling dan Langkawi sebagai destinasi domestik paling banyak ditempah oleh rakyat Malaysia.*

Rakyat Malaysia turut mengembangkan destinasi pelancongan mereka untuk menerokai pelbagai destinasi tidak kira dekat mahupun jauh.

“Asia Pasifik menonjol sebagai destinasi luar negara yang paling banyak ditempah oleh rakyat Malaysia – manakala United Kingdom menduduki tempat nombor 1, diikuti oleh Australia, Thailand, Korea, dan Indonesia yang kesemuanya menyumbang kepada kedudukan lima teratas.

“Di samping itu, bandar luar negara yang paling banyak ditempah oleh rakyat Malaysia pada tahun lepas ialah London, Bangkok, Melbourne, Paris dan Jakarta,” menurut data Airbnb.

Data Airbnb yang baharu juga mendapati pelancong dari empat negara merancang percutian melalui Airbnb ke Malaysia pada tahun 2022 iaitu Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Indonesia.

Airbnb berkata, pada tahun 2022, pelancongan secara berkumpulan adalah jenis tempahan yang paling biasa di Malaysia, dengan purata saiz kumpulan seramai empat tetamu.

Menurutnya, pelancongan secara berkumpulan di Airbnb melonjak sebanyak 180% tahun ke tahun pada tahun 2022.

Melancong terus menjadi satu cara untuk orang ramai mengeratkan hubungan dengan orang tersayang, khususnya sewaku cuti panjang.

Pelancongan semasa Aidilfitri tidak lama lagi turut mencerminkan corak sama apabila ramai keluarga mula merancang perjalanan mereka. Airbnb telah mencatatkan pertumbuhan hampir 600 peratus dalam carian untuk daftar masuk** di Malaysia bagi tempoh bulan Ramadan.

Data Airbnb terkini turut menunjukkan lima bandar teratas yang paling dicari bagi Aidilfitri ini termasuk Kota Kinabalu, Sabah; Johor Bahru, Johor; Georgetown, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak dan Alor Setar, Kedah

Data Airbnb turut mendedahkan peningkatan momentum dalam pelancongan secara solo di Malaysia, apabila tempahan pelancongan secara solo meningkat dua kali ganda tahun ke tahun pada 2022.

Amanpreet Bajaj

Pada skala makro, pengembara solo menyumbang kepada hampir satu per empat daripada keseluruhan malam yang ditempah di seluruh global pada tahun lepas.

Menyedari trend ini, Airbnb baru-baru ini telah melancarkan ciri Keselamatan Pengembara Solo. Ciri perkhidmatan ini yang tersedia dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina, disediakan untuk membantu dan memudahkan pelancong solo untuk melancong secara selamat di Malaysia.

Amanpreet Bajaj, Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, berkata, dengan 2025 ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia, pihaknya teruja melihat pemulihan sektor pelancongan di seluruh negara serta manfaat yang dibawanya kepada komuniti tempatan.

“Keghairahan rakyat Malaysia untuk menerokai kampung halaman sendiri, serta peningkatan minat pengunjung antarabangsa untuk mengalami keindahan landskap Malaysia dan kekayaan warisan budayanya adalah satu fenomena yang amat menggalakkan.

“Ini bermakna lebih banyak pendapatan dari pelancongan akan mengalir ke dalam komuniti Malaysia, sekali gus menyokong perniagaan dan pekerjaan tempatan. Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan dalam industri untuk menyokong dan merancakkan pemulihan pelancongan yang sedang berlaku,” tambahnya. – MalaysiaGazette