Rozilan (kiri) bersama Haris Salleh semasa persidangan UMNO Bahagian Jerantut baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – “Selepas ini marilah kita bekerja bersama-sama dalam satu pasukan, pasukan kita, pasukan UMNO Jerantut untuk merampas kembali Parlimen dan tiga DUN (Dewan Undangan Negeri) di Jerantut.”

Itu tekad Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh.

Dalam PRU-15, tiga DUN dan Parlimen Jerantut dimenangi oleh Perikatan Nasional.

Rozilan yang memenangi jawatan itu dalam pemilihan parti baru-baru ini mahu maruah UMNO dan Barisan Nasional dikembalikan di Jerantut.

“Di bahu kitalah tugas ini terpikul. Macam mana caranya, sama-sama kita berusaha membantu dan menjayakan hasrat dan matlamat mengembalikan maruah parti keramat ini,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya semalam.

Rozilan dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang memilihnya.

“Keputusan sudah pun diketahui, Alhamdulllah, sekali lagi saya bersyukur atas keputusan ini berkat sokongan perwakilan, saya telah dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian pada kali ini.

“Terima kasih perwakilan yang telah menunaikan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

“Bagi saya, keputusan ini adalah satu amanah yang amat berat terhadap saya, yang harus saya pikul demi mengembalikan dan mengangkat semula UMNO,” katanya.-

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jerantut dimenangi oleh Haris Salleh Hamzah. – MalaysiaGazette