Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir pada Pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti cadangan untuk mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula Januari berbanding Mac pada masa ini.

Bagaimanapun, perkara itu masih belum boleh dilaksanakan pada tahun hadapan, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Ini kerana banyak justifikasi yang perlu diselesaikan berdasarkan pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

“Perubahan semula kalendar akademik persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun.

“Selain itu, ia juga harus tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Fadhlina, sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 masih dikekalkan pada Mac untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021.

Katanya, peraturan berkenaan menetapkan jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang 190 hari.

Jelasnya, KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast