Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof ditemui media selepas memfailkan nusyuz terhadap isteri pertama, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

KUALA LUMPUR – Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof memfailkan nusyuz terhadap isteri pertama, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, hari ini.

Syamsul, 39,berkata, tuntutan nusyuz itu difailkan kerana Puteri Sarah didakwa masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.

Selain itu, beliau turut mengakui terkejut apabila Puteri Sarah mendakwa dirinya telah melakukan keganasan rumah tangga pada tahun 2020.

“Selama ini apa yang berlaku dalam rumah tangga, saya banyak diam. Tak elok nak kongsi semua hal dalam kain pada umum sebab itu saya diam.

“Semua orang tahu, walau apapun yang Sarah kongsi di media sosial, saya tetap mendiamkan diri kerana saya lelaki yang tak nak kongsi hal rumah tangga kepada umum.

“Baru saya faham sekarang kenapa orang cakap jangan masuk campur tangan hal rumah tangga orang lain. Orang tak tahu apa yang berlaku, mungkin hanya dengar sebelah pihak dan terus menghakimi.

“Saya masih mendiamkan diri kerana memikirkan Sarah adalah isteri saya dan merupakan ibu kepada Syaikhul dan Sumayyah.

“Saya tak nak lepaskan dia di mahkamah haritu kerana masih sayang dia. Saya terkejut apabila dia menuduh saya memukul dia. Mungkin dia benci dan marah saya tapi sampai tahap memfitnah saya.

“Kesilapan saya mungkin sebab saya diam sehingga ibu bapa saya juga menghentam saya. Saya bukan hendak membalas Sarah, tetapi orang perlu tahu hal yang sebenar.

“Saya juga memendam rasa sebagai suami. Dalam dunia ini, tiada suami yang boleh terima isterinya yang curang dengan suami orang lain,” katanya pada pemberita.

Peguam syariah, Azmi Mohd. Rais bersama anak guamnya, Syamsul, Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Sementara itu, peguamnya Azmi Mohd. Rais memaklumkan, pihaknya akan menyerahkan tuntutan nusyuz ke atas Puteri Sarah dalam masa terdekat atas beberapa alasan.

“Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz ke atas Sarah membabitkan beberapa alasan. Antaranya meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020. Kedua, masih menghubungi bekas kekasihnya.

“Alasan ketiga kerana enggan mematuhi notis nusyuz dan keempat membuat kenyataan fitnah apabila dituduh memukul dan tidak memberi nafkah kepada isterinya,” ujarnya.

Tarikh sebutan semula kes tuntutan nusyuz Syamsul terhadap Puteri Sarah akan disambung semula pada 6 April depan.

Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast