Antara Terowong Genting projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto, MOHD ADZLAN 23 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi jaminan mana-mana kawasan khususnya perumahan yang terjejas akibat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diberikan pampasan.

Dalam masa yang sama beliau berkata, notis pemberitahuan pengambilan tanah berkenaan jajaran yang terlibat dengan projek berkenaan akan dikeluarkan.

“Kita akan pastikan pampasan sudah tentu ada. Kalau pengambilan rumah melalui jajaran ini sudah tentu pampasan akan diberikan.

“Tapi dari segi jajaran biasanya notis telah diberikan dan dari segi pendengaran awam telah pun dilaksanakan cuma kalau ada kes spesifik minta Yang Berhormat tulis kepada kementerian dan kita minta Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) akan lihat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan.

Menurut Anthony, sehingga kini projek berkenaan sudah lebih 40 peratus siap.

“Saya nak beritahu, ECRL memang on track (ikut jadual),” katanya.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) merangkumi pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dijangka siap pada 2026. – MalaysiaGazette