Baharin Din (kiri) menyerahkan replika kunci kenderaan kepada Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) sambil disaksikan Saifuddin Nasution Ismail (tengah) di hadapan kenderaan pacuan empat roda sumbangan TNB kepada PDRM sewaktu Istiadat Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis ke-216 pada 20 Mac 2023.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,600 serbuan dilakukan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggempur kegiatan mencuri arus elektrik dalam tempoh dua tahun lalu di seluruh Semenanjung dalam Op Letrik.

Serbuan itu sekali gus mengekang kerugian bernilai RM278.49 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama strategik ini telah memberikan impak amat positif dalam usaha membanteras
perbuatan khianat tersebut, khususnya melibatkan premis perlombongan mata wang kripto, bitcoin dan pengguna industri.

Justeru, TNB meningkatkan lagi kemudahan logistik pasukan PDRM dalam Op Letrik itu dengan menyumbang enam (6) kenderaan pacuan 4 roda (4×4) dan 25 buah kontena bagi keperluan penyimpanan perkakasan rampasan.

Baharin menyerahkan kenderaan untuk kegunaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sempena Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis, di Kuala Lumpur pada 20 Mac lalu, disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sumbangan itu diharapkan dapat melancarkan operasi Op Letrik bagi menggempur kegiatan mengambil bekalan elektrik secara curang, sekali gus mengelak kerugian kepada pengguna termasuk risiko bekalan kerap terputus.

“Terima kasih kepada PDRM di atas sokongan dan kerjasama dalam membantu TNB menjejak jenayah curi arus elektrik ini di seluruh Semenanjung Malaysia. Op Letrik ini turut memberi impak positif kepada operasi TNB dan sekali gus membantu kami memberi tumpuan kepada usaha memacu peralihan tenaga negara,” katanya.

Pengusikan pepasangan meter atau penyambungan haram oleh para pengusaha bitcoin boleh mencetuskan pelbagai kejadian termasuk gangguan bekalan akibat beban lampau
(overloading) dan litar pintas sehingga menyebabkan kebakaran.

“TNB akan terus komited dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang berterusan kepada pihak PDRM dalam membenteras jenayah curi arus elektrik dan berharap agar
kerjasama berterusan dengan PDRM ini akan berkekalan demi kebaikan semua pihak terutamanya kepada rakyat dan negara,” tambah Baharin.

Selain itu, TNB juga mendapat kerjasama agensi-agensi berkaitan khususnya Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha berusaha membanteras
kecurian arus elektrik itu yang menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990. – MalaysiaGazette