Ibu tunggal, Norhafiza dan anaknya Airish Zaquwan melihat keadaan rumahnya di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam yang hangus dalam kebakaran malam tadi.

MELAKA – “Patutlah saya berasa tak sedap hati tidur di bilik dan berpindah ke ruang tamu, kalau tidak, mungkin pun saya sudah tiada lagi,” kata Airish Zaquwan Affizi, 15.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir itu terselamat apabila rumah keluarganya musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Taman Merdeka Jaya, di sini lewat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, hanya mangsa berada di rumah teres setingkat itu manakala ibunya, Norhafiza Nor Azli, 40, yang merupakan ibu tunggal dan adiknya Azrief Zaffuwan, 12, sedang berniaga di bazar Aidilfitri di sebuah pasaraya di Ayer Keroh.

Menceritakan kejadian itu, Airish Zaquwan berkata dia ketika itu sedang tidur di bilik kedua selepas selesai berbuka puasa sebelum terhidu bau asap dari bilik tidurnya.

Ashwad menyantuni ibu tunggal, Norhafiza dan anaknya Airish Zaquwan di hadapan rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam yang hangus dalam kebakaran malam tadi.

“Sebelum itu waktu hendak tidur pukul 8 malam, saya dah rasa tak sedap hati kerana kerap terjaga sehinggalah pukul 11 malam saya berpindah tidur di ruang tamu.

“Tidak lama selepas itu, saya terjaga apabila terbau seperti asap sebelum ternampak bilik tidur saya cerah dengan cahaya api dan terkejut apabila mendapati api sudah menjulang ke bumbung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Airish Zaquwan berkata, dia kemudian segera berlari ke luar rumah dan meminta bantuan jiran untuk menghubungi bomba kerana telefon bimbitnya sudah hampir kehabisan bateri.

“Hanya Allah yang tahu perasaan menerima ujian hari pertama Ramadan ini apabila semua peralatan rumah, dokumen-dokumen penting hangus dijilat api sekelip mata menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Sementara itu, ujian yang dihadapi tiga beranak itu turut mendapat perhatian Pengerusi Persatuan Sukarelawan Bencana Negeri Melaka, Ashwad Abd Rahim ketika ditemui berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa.

“Kita amat simpati dengan ujian dihadapi keluarga ibu tunggal ini pada hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa dan akan melihat apakah keperluan yang diperlukan.

“Persatuan akan melancarkan tabung kilat untuk membantu meringankan beban termasuk jika perlu kita akan mencari kediaman sementara untuk tiga beranak ini berteduh,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast