KUALA LUMPUR – Pelakon, Puteri Sarah sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk bercerai dengan suaminya, Syamsul Yusof.
Puteri Sarah berkata demikian selepas sesi proses perdamaian bersama Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini.
Menurutnya, proses perdamaian itu gagal.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia sudah letih dengan segala ‘permainan’ yang dilihat semakin berlarutan tanpa jalan penyelesaian.
“Saya masih kekal dengan keputusan untuk bercerai dan enggan berdamai. Enough is enough, saya sudah penat,” katanya selepas sesi JKP tersebut yang dibuat dalam bilik berasingan dengan suaminya.
Puteri Sarah memberitahu, semua perbincangan dalam proses JKP itu akan dibawa kepada sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, April ini.
“Apa yang kita cakap hari ini di depan ustazah (wakil JKP) itu akan dibawa ke mahkamah. Apa yang saya katakan untuk tidak berdamai dan mahu bercerai akan saya akan beritahu di mahkamah.
“Saya berharap sangat saya dapat cepat dilepaskan. Kalau Syamsul masih degil tidak mahu lepaskan, saya akan menggunakan hakam,” ujarnya
Pada 7 Mac lalu, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan pasangan itu untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.
Sebelum ini, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selaku plaintif memfailkan permohonan cerai di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Ia dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. – MalaysiaGazette