Sembilan individu termasuk lima pegawai penguatkuasa dalangi sindiket seludup PATI dari Sabah direman SPRM di Sabah hari ini.Ihsan SPRM Putrajaya

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seramai sembilan individu termasuk lima pegawai penguat kuasa dalam Ops Lancar kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah.

Perintah reman selama enam hari bermula hari ini hingga 29 Mac depan dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu di Mahkamah Majistret Tawau.

Menurut sumber, lima suspek termasuk dua pegawai wanita yang berusia antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan antara jam 2.30 petang hingga 8.40 malam semalam di pejabat masing-masing dan ketika mereka hadir memberi keterangan kepada SPRM.

Menrutnya, empat suspek dipercayai bertindak sebagai ejen PATI dari negara jiran yang melibatkan tiga wanita warga tempatan berusia antara 37 hingga 48 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 73 tahun turut ditahan antara jam 3.30 petang hingga 6 petang semalam.

Modus operandi yang dilaksanakan sindiket terbabit adalah setiap PATI atau Pemastautin Sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan akan membayar kira-kira RM2,500 kepada ejen PATI tersebut sekiranya ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

Sumber menambah, sindiket itu kemudian membekalkan MyKad tulen dan pas menaiki pesawat di atas nama pemilik asal MyKad kepada kumpulan PATI yang menggunakan khidmat mereka.

PATI kemudian akan melepasi pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas bayaran rasuah dibuat kepada pegawai pengua kuasa tersebut, ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi petang tadi mengesahkan tangkapan kesemua sembilan individu itu.

“Kesemua suspek yang ditahan dan direman itu sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“Operasi khas itu dijalankan oleh Imigresen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast