KUALA LUMPUR – Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi terus membuktikan keunggulannya apabila dia berjaya menjuarai acara 100 meter (m) pada kejohanan Florida State University (FSU) Relays yang diadakan di Tallahassee, Florida, Amerika Syarikat hari ini.
Lebih membanggakan, anak muda kelahiran Teluk Intan, Perak itu menyertai kali pertama acara 100m yang sebelum ini dia telah membuat tiga penampilan bagi acara 60 meter dalam dewan.
Pada acara yang berlangsung awal pagi tadi, Azeem pantas meninggalkan sembilan pesaing lain untuk mencatatkan masa 10.32 saat.
Satu catatan masa yang jauh meninggalkan dua lagi pesaing terdekat beliau, Andre Ewers (10.49s) dan Trei Thorogood dari Universiti Syracuse (10.51s).
Perkembangan terkini mengenai kemenangan Azeem itu disahkan lama Twitter Auburn Track & Field.
Walaupun tidak berjaya meraih catatan masa seperti diharapkannya iaitu bawah 10.20s, kejayaan Azeem menjuarai kejohanan ini bakal meningkatkan lagi motivasi untuk terus memperbaiki prestasi sejak mula berlatih bersama universiti yang terletak di Alabama, Amerika Syarikat itu sejak Januari lalu.
Azeem mula mencipta sensasi pada Ogos tahun lalu selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan melakar catatan masa 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.
Kecemerlangan itu diteruskan apabila Azeem sudah berkelana ke Amerika Syarikat susulan kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 60 meter yang dipegang Watson Nyambek hampir 24 tahun dengan catatan masa 6.63m. – MalaysiaGazette