KUANTAN – Seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak memukul imam jemputan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dengan selipar ketika sedang menunaikan solat Subuh di sini hari ini.
Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Mohd Rizal Mohd Ali Nafiah berkata, bagaimanapun imam terbabit tidak mengalami kecederaan.
“Lelaki berkenaan telah pun dirujuk Unit Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hari ini tular video berdurasi 31 saat memaparkan seorang lelaki yang datang dari arah belakang jemaah cuba memukul kepala imam itu dengan menggunakan selipar.
Bagaimanapun beberapa jemaah bertindak pantas membawa keluar lelaki terbabit.
Sementara itu, menerusi kenyataan, Mohd Rizal meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan video insiden tersebut.
“Setelah pengumuman ini dibuat pihak masjid tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana pihak yang akan berhadapan dengan tindakan undang-undang disebabkan penyebaran video tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette