Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bercakap dengan pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Perda, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Perikatan Nasional (PN) bermimpi di siang hari sekiranya meramalkan mampu memenangi 15 kerusi Melayu di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) nanti.

Sindiran itu dilontarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika diminta mengulas mengenai cita-cita PN khususnya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti pengundi Melayu.

“Ketika ini, ramai orang yang bermimpi di siang hari, Jadi, elok-eloklah kalau rasa matahari itu tengah panas, mimpi itu terulit apabila tidurnya terlalu nyenyak.

Please interpret by yourself (sila tafsirkan sendiri makna ayat ini),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan kunci kepada 10 penyewa yang mewakili 52 peserta projek perumahan Skim Perumahan Rakyat (SPR) Perda di Kuala Sungai Pinang dalam daerah Barat Daya.

Pada 12 Mac lalu MalaysiaGazette melaporkan Pas dan Bersatu Pulau Pinang mencapai persefahaman untuk membahagikan sejumlah 15 kerusi DUN kawasan majoriti Melayu pada PRN akan datang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, kedua-dua parti komponen PN negeri itu turut mengadakan perbincangan dalam mengenal pasti calon berwibawa.

“Kita sudah berbincang dari pelbagai sudut termasuk membabitkan strategi dan alhamdulillah mencapai kata sepakat dalam rundingan ini dan diketahui pimpinan teratas mengenai apa yang kita lakukan,” katanya. – MalaysiaGazette