Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Jumlah  keseluruhan aset di bawah pengurusan (AUM) syarikat pengurusan dana (FMC) di Malaysia menurun sebanyak 4.69 peratus kepada RM906.46 bilion berbanding RM951.05 bilion pada 2021, kata Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini.

Pada 2022, SC berkata, lima FMC teratas menyumbang 55.42 peratus daripada jumlah keseluruhan AUM berbanding 54.81 peratus pada 2021 (sebahagian besar sumber dana di bawah pengurusan adalah daripada dana unit amanah, KWSP, badan korporat dan dana borong.

“Dana tersebut diperuntukkan dalam pelbagai kelas aset dan lokasi yang mana pelaburan FMC di dalam Malaysia berjumlah RM624.87 bilion, mewakili 68.94 peratus daripada jumlah keseluruhan AUM pada penghujung 2022,“ kata SC dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini.

SC berkata, sebahagian besar pelaburan diperuntukkan kepada ekuiti dengan 47.59 peratus pada akhir 2022, berbanding 49.20 peratus pada 2021 dan trend yang sama diperhatikan dalam peruntukan aset di dalam dan di luar Malaysia.

Dana unit amanah terus menjadi komponen terbesar industri skim pelaburan kolektif (CIS) Malaysia dengan jumlah nila aset bersih (NAV) sebanyak RM487.94 bilion dicatatkan pada 31 Dis, 2022 berbanding RM526.90 billion pada 2021.

SC berkata, peratus jumlah NAV industri dana unit amanah berbanding permodalan pasaran Bursa Malaysia adalah 28.10 peratus berbanding 29.45 peratus pada 2021.

Manakala pada 2022, sebanyak 39 dana unit amanah telah dilancarkan manakala 11 dana ditamatkan dan sembilan dana mencapai kematangan, menjadikan jumlah keseluruhan dana unit amanah yang ditawarkan oleh 38 syarikat pengurusan unit amanah yang diperbadankan di Malaysia kepada 759 dana setakat 31 Dis, 2022.

Pada 2022, SC mempertimbangkan 43 permohonan berkaitan dengan CIS dan skim persaraan swasta, yang terdiri daripada permohonan untuk menubuhkan dana baharu, mendaftar prospektus/dokumen penzahiran, pendaftaran surat ikatan dan permohonan sampingan lain.

Pada 31 Dis, 2022, sebanyak 58 dana ditawarkan kepada pelabur yang telah diberi kelayakan sebagai dana mampan dan bertanggungjawab (SRI) menurut Garis Panduan Dana Mampan dan Bertanggungjawab, berbanding 34 dana yang direkodkan pada 2021.

SC berkata 58 dana tersebut terdiri daripada 31 dana unit amanah dan 27 dana borong dengan jumlah NAV pada 31 Disember 2022 sebanyak RM7.05 bilion berbanding RM5.07 billion pada 2021.

Terdapat tujuh penerbit waran berstruktur yang layak pada 2022 termasuk Affin Hwang Investment Bank Bhd yang merupakan penerbit waran berstruktur yang layak dan yang baharu.

Pada 2022, SC menerima dan mendaftarkan tujuh prospektus asas dan 22 prospektus tambahan daripada penerbit tersebut.

Pada 2022, sembilan penerbit menyerahkan 22 program produk berstruktur baharu kepada SC di bawah Rangka Kerja Serah dan Simpan (LOLA) bagi produk pasaran modal tidak tersenarai.

“Program-program tersebut terdiri daripada pelbagai jenis rujukan pendasar dan mempunyai saiz agregat sebanyak RM110 bilion dengan setiap program mempunyai had saiz sehingga RM5 bilion,” kata SC.

Pasaran produk berstruktur Malaysia melaporkan peningkatan ketara sebanyak 25 peratus daripada jumlah terbitan baharu pada 2022 berbanding 2021. Individu Bernilai Bersih Tinggi (HNWI) terus membentuk majoriti pelabur yang menyumbang 91.6 peratus daripada pelabur dalam produk berstruktur.

SC berkata tahun 2022 menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 38 peratus bagi penawaran produk berstruktur kepada HNWI dari 2021.

Pada 2022, dua penyedia kontrak untuk perbezaan (CFD) menawarkan CFD di Malaysia berdasarkan saham dan indeks. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast