Enam warganegara Filipina termasuk seorang remaja dibawa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk didakwa atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2023.

SEPANG – Lima warga Filipina termasuk dua wanita telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Sepang di sini pagi ini atas kesalahan memiliki kad pengenalan warganegara Malaysia secara tidak sah.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh iaitu Sahara Jamil, 51, Husin Jailun,48, Nur Aisah Insanul, 19, Ujirin Pandakan,43, dan Mukmin Oskar, 29 telah mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Ayuni Izzaty.

Manakala tertuduh keenam yang juga merupakan seorang remaja perempuan Filipina berusia 15 tahun dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan atas kesalahan yang sama.

Terdahulu kesemua enam tertuduh dibawa oleh Jabatan Pendaftaran Negara dengan tangan bergari menaiki sebuah Toyota Hilux dan van berwarna hitam ke mahkamah kira-kira pukul 8.52 pagi tadi sebelum dihadapkan di kandang tertuduh pukul 9.23 pagi.

Mengikut fakta kes, tertuduh pertama, Sahara Jamil didakwa tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan milik orang lain atas nama Fatimah Hassan sebagai pengenalan diri.

Manakala tertuduh kedua, Husin Jailun pula didakwa tanpa kuasa yang sama menggunakan kad pengenalan orang lain atas nama Omar Kiraman sebagai pengenalan diri sementara tertuduh ketiga Nur Aisah pula turut didakwa menggunakan kad pengenalan orang lain bernama Nursyakirah Nawang.i

Dalam pada itu, tertuduh keempat, Ujirin Pandakan dituduh menggunakan kad pengenalan orang lain bernama Abdul Habil Mobin sebagai pengenalan dirinya.

Selain itu, tertuduh kelima dan keenam iaitu Mukmin Oskar serta remaja perempuan didakwa menggunakan kad pengenalan bernama Alrafi Aziz dan Norfatimah Fitri.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 Mac lalu pada jam lebih kurang 1.30 petang di alamat Gate J11, Termina KLIA2, Sepang.

Kesemua mereka dengan itu dituduh melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda 20,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua enam tertuduh termasuk kanak-kanak itu memahami pertuduhan mereka sebelum mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya iaitu Zulkarnain Ahmad dan Nor Fadilah Mat Shaari.

Kedua-dua pihak pendakwaan berhujah kepada mahkamah kesemua tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang besar dan serius serta membawa implikasi buruk kepada pemilik asal dari aspek keselamatan.

Bagi tertuduh kanak-kanak bawah umur itu, Ayuni Izzaty menerangkan kepada remaja itu bahawa dia akan didakwa dan dipenjarakan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan JPN memandangkan dia adalah seorang bukan warganegara Malaysia.

“Jika kamu adalah seorang warga Malaysia, kamu boleh didakwa di mahkamah kanak-kanak secara asing dan diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tetapi memandangkan kamu bukan warganegara dan mengaku bersalah maka kamu harus faham bahawa akan didakwa mengikut peruntukan undang-undang JPN iaitu perlu dipenjara,” katanya.

Semasa diberi peluang merayu sebelum dijatuhkan hukuman, mereka mengku masuk ke negara ini dengan bayaran lumayan menggunakan Mykad yang diperoleh dari ejen untuk mencari kerja bagi menampung tanggungan isteri, anak dan emak berstatus ibu tunggal manakala kanak-kanak itu pula mengaku dia datang berjalan-jalan dan berjumpa dengan ibu bapa mereka yang berada di Johor.

Kemudian, beliau membacakan keputusan dengan menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda RM5,000 jika gagal bayar hendaklah menjalani penjara 12 bulan dari tangkapan untuk lima tertuduh pertama.

Manakala kanak-kanak bawah umur itu pula dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan kesemua mereka hendaklah dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Terdahulu kesemua mereka ditahan oleh JPN dan Jabatan Imigresen serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam operasi menumpaskan sindiket menyeludup Pendatang asing tanpa izin yang membolosi ke Malaysia menerusi pintu udara di KLIA2 selepas diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau Sabah pada 23 Mac yang lalu.

Turut ditahan sembilan individu termasuk lima penguat kuasa Imigresen yang disyaki bersubahat dalam sindiket penyeludupan manusia itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast