Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023 membabitkan pengeluaran sejumlah wang tidak melebihi RM60,174,928,000 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan.

Ia merupakan perbelanjaan yang dinyatakan dalam jadual bagi tahun 2022 dan tidak diperuntukkan atau tidak diperuntukkan dengan sepenuhnya oleh Akta Perbekalan 2022 (Akta A1638).

Perbelanjaan tambahan itu membabitkan 10 perkhidmatan dengan Perkhidmatan Am Perbendaharaan menerima peruntukan tertinggi iaitu RM52,776,595,400.

Ia diikuti Peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun (RM2,241,548,100) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM2,058,146,000).

Selain itu, Perbendaharaan menerima peruntukan RM1,191,328,300, Kementerian Pendidikan (RM803,613,600), Kementerian Kesihatan (RM676,518,300), Kementerian Pertahanan (RM303,726,600), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM84,822,600), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM24,531,500) dan Kementerian Perpaduan Negara (RM14,097,600). – MalaysiaGazette