KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa proses reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara disegerakan.

Menurut Bersih, ini susulan daripada gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya SPRM  diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dengan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya itu diteliti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).

“Perdana Menteri menyebut bahawa beliau ‘tidak ada bantahan’ untuk mereformasi proses pelantikan.

“Bersih, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Transparency International-Malaysia (TI-M) antara badan yang mencadangkan mekanisme yang terperinci.

“Kami memahami bahawa sebarang mekanisme reformasi perlu melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan diteliti oleh JPKP. Kami harap ini juga dilakukan dengan telus dan membabitkan penyertaan pertubuhan masyarakat sivil,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Bersih menyambut baik persetujuan Perdana Menteri bahawa Jabatan Peguam Negara perlu dipisahkan daripada Pendakwa Raya.

“Pemisahan ini serta reformasi proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, perlu dipercepatkan untuk mengukuhkan autonomi institusi.

“Ia juga untuk menyingkirkan persepsi ‘pendakwaan terpilih’ yang dikenakan kepada mantan Perdana Menteri serta Ahli Parlimen pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette