Dr Massila Kamalrudin

MELAKA – Prihatin, cakna dan menyambut aspirasi nasional maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan Menu Siswa Rahmah pada harga serendah RM 3.50.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM menerusi inisiatif dan pendekatan segera telah melaksanakan Menu Siswa Rahmah ini bermula 20 Mac lalu.

Jelasnya, pelaksanaan menu tersebut adalah berkuatkuasa sepenuhnya kepada semua kafertaria yang beroperasi dalam Kampus UTeM.

Pelaksanaan ini menzahirkan UTeM terus proaktif dan sentiasa menyahut aspirasi yang digagaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru
ini.

“Di sini lebih 62% pelajar UTeM yang berstatus B40 dari 11,000 pelajar layak menikmati Menu Siswa Rahmah pada harga serendah RM3.50 tersebut. UTeM sentiasa berikhtiar dan berusaha menjayakan pelbagai inisiatif bagi membantu pelajar miskin terutama golongan B40 supaya tidak terjejas pengajian mereka disebabkan kesusahan dan keperitan hidup.

“Pengenalan Menu Siswa Rahmah tepat pada waktunya terutama ketika keadaan kos sara hidup yang nampaknya mempamerkan trend peningkatan pada masa kini,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengisian Menu Siswa Rahmah RM 3.50 ini beliau berkata, ianya terdiri dua pilihan iaitu pilihan 1 ialah set nasi putih, ikan/ayam, sayur, kuah/ sup kosong dan air kordial.

Sementara itu pilihan 2 pula terdiri dengan set nasi/bihun/mee/kuetiau goreng digandingkan dengan telur dan beberapa pilihan air.

Dr Massila berkata, pelaksanaan Menu Siswa Rahmah dijayakan menerusi kerjasama hebat bersama pihak pengusaha kafetaria melibatkan tujuh buah kafetaria kesemuanya dalam kampus induk dan dua buah di Kampus Teknologi UTeM.

“Sebagai insentif dan imbal balik dari para pengusaha yang menyediakan Menu Siswa Rahmah pihak pengurusan tertinggi universiti bersetuju untuk memberi pengecualian sewaan sehingga akhir tahun 2023 kepada semua pengusaha kafeteria,” ujarnya lagi.

Menu Siswa Rahmah adalah inisiatif UTeM di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) yang mendatangkan manfaat yang besar bukan sahaja kepada Mahasiswa terutama B40 malahan bermanfaat buat seluruh warga UTeM dan pihak luar UTeM turut dapat menikmatinya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada masa yang sama Menu Rahmah dengan harga RM5 yang telah terlebih dahulu diperkenalkan sebelum ini masih diteruskan oleh pengusaha kafetaria di UTeM dan boleh dinikmati oleh semua warganya. – MalaysiaGazette