Lima lelaki Indonesia antara ditahan APMM Pulau Pinang susulan ceroboh perairan negara bagi aktiviti tangkap ikan semalam.

GEORGE TOWN – Padah ceroboh perairan negara, sembilan kru warga Indonesia ditahan bersama dua bot di 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini semalam.

Kesemua kru itu ditahan pasukan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang ketika melakukan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi antara jam 11.40 pagi dan 12.10 tengah hari.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pemeriksaan pada bot pertama mendapati ia dikendali seramai empat kru manakala lima kru lagi mengendalikan bot kedua.

Bot dikendalikan mereka turut disita dalam tangkapan tersebut.

“Semakan mendapati kesemua lelaki Indonesia yang berusia antara 17 hingga 41 tahun itu berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang, Sumatera Utara.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Sehubungan itu, kedua-dua bot dan sembilan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Tambah Abd Razak, APMM akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut. – MalaysiaGazette