Temu Anwar
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasminya ke Republik Rakyat China (RRC) hari ini.

Beliau yang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dijadual berada di negara itu selama tiga hari dalam lawatan sulungnya sejak menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Sepanjang lawatan itu, Anwar dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping yang baharu dilantik semula sebagai Presiden RRC bagi penggal ketiga.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu strategik dalam hubungan dua hala termasuk mengukuhkan lagi hubungan ketika pasca wabak Covid-19 dengan mengambil kira persekitaran antarabangsa yang mencabar.

“Perdana Menteri juga akan menerima kunjungan hormat, Pengerusi Kongres Kebangsaan Rakyat, Zhao Leji dan turut membincangkan usaha mengukuhkan peranan serta hubungan antara parlimen kedua negara,” kata kenyataan Wisma Putra, hari ini.

Turut mengiringi lawatan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta pegawai kanan kerajaan.

Seterusnya, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawat beliau, Perdana Menteri RRC, Li Qiang.

“Mesyuarat itu akan memberi peluang kepada kedua pemimpin untuk membincangkan pelbagai bidang kerjasama dua hala dan pragmatik yang merangkumi perdagangan dan pelaburan, teknologi tinggi, ekonomi digital, pengajian tinggi, pemulihan pasca pandemik dan keterjaminan makanan.

“Kedua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Perdana Menteri dan Li Qiang akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan RRC dalam bidang pertanian dan perdagangan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Anwar turut dijadualkan menyampaikan syarahan di Universiti Tsinghua di Beijing.

Di Hainan, beliau akan menghadiri Persidangan Tahunan Forum Boao Bagi Asia (BFA) 2023 dan menyampaikan ucapan pada Pembukaan Pleno yang bertemakan “An Uncertain World: Solidarity and Cooperation for Development amid Challenges”.

Anwar akan turut mengadakan sesi libat urus bersama diaspora Malaysia dan ahli perniagaan di Beijing dan Hainan.

“Ini merupakan lawatan bersejarah kerana ia adalah lawatan rasmi pertama Anwar ke RRC sebagai ketua Kerajaan Perpaduan.

“Malah, Perdana Menteri adalah antara pemimpin pertama yang mengadakan pertemuan dengan Li Qiang selepas dilantik sebagai Perdana Menteri dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi yang telah dilantik semula sebagai Presiden.

“Lawatan ini dijangka mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dan kemasukan lebih banyak pelaburan ke Malaysia,” kata Wisma Putra.

Lawatan Anwar ke RRC adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan negara itu.

Pencapaian yang signifikan itu merupakan bukti terhadap hubungan dua hala yang kukuh dan berkekalan antara kedua negara, berteraskan sikap saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama.

Sejak tahun 2009, RRC merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia yang mana tahun 2022, jumlah dagangan antara antara kedua negara bernilai RM487.13 bilion (USD110.62 bilion) iaitu peningkatan 15.6 peratus berbanding tahun 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast