Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menafikan pihaknya atau kerajaan negeri mewartakan tarif air baharu bagi penggunaan bukan domestik di Pulau Pinang.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K. Pathmanathan berkata, tarif baharu itu telah ditetapkan dan diwartakan di bawah peraturan Persekutuan oleh Kerajaan Persekutuan pada 29 Julai tahun lalu.

Jelas beliau, Pulau Pinang bukan satu-satunya negeri yang mengenakan tarif baharu untuk penggunaan bukan domestik memandangkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah menetapkan tarif baharu itu untuk 10 negeri lain dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

“Terdapat kenyataan dan dakwaan yang mengelirukan yang disiarkan dalam media baru-baru ini berhubung pelaksanaan tarif baharu untuk penggunaan bukan domestik di Pulau Pinang jadi kita ingin membuat penjelasan berhubung perkara ini bagi mengelak salah faham orang ramai.

“Sepatutnya semua komen, kritikan dan aduan mengenai Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Pulau Pinang) (Pindaan) 2022 perlu diajukan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Ini kerana SPAN merupakan badan kawal selia perkhidmatan air negara. Dalam surat rasmi bertarikh 14 Julai 2022, SPAN memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan (sebelum ini) telah memutuskan untuk melaksanakan semakan tarif air untuk penggunaan bukan domestik dan penggunaan kategori khas untuk semua negeri di Semenanjung Malaysia dan WP Labuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Pathmanathan, PBAPP hanya dimaklumkan secara rasmi mengenai tarif yang disemak untuk penggunaan bukan domestik di negeri ini dan pengkategorian penggunaan air oleh sekolah sebagai penggunaan bukan domestik selepas pewartaan peraturan Persekutuan.

“Sebagai operator bekalan air yang memberi perkhidmatan di Pulau Pinang di bawah lesen yang dikeluarkan oleh SPAN, PBAPP bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan Persekutuan kerana kegagalan mematuhi itu boleh membawa kepada isu pembaharuan lesen.

“Tarif yang disemak untuk penggunaan air bukan domestik di Pulau Pinang sepatutnya dilaksanakan mulai 1 Ogos tahun lalu. Bagaimanapun, PBAPP hanya memulakan pengebilan untuk penggunaan air bukan domestik di bawah peraturan baharu bermula 1 Januari tahun ini.

“PBAPP dan kerajaan Pulau Pinang tidak mengkategorikan penggunaan air di sekolah sebagai penggunaan bukan domestik sebaliknya kerajaan Persekutuan yang melakukannya pada 22 Julai tahun lalu malah, peraturan Persekutuan hanya boleh dipinda oleh kerajaan Persekutuan,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast