Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai .

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoal langkah kerajaan yang membuat lebih daripada 10 lantikan politik sepanjang bulan ini.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, hampir separuh daripada lantikan tersebut terdiri dalam kalangan pemimpin UMNO yang mencetus tanda tanya sama ada penglibatan kerajaan dalam ‘transaksi politik’ atau nepotisme.

Katanya, keadaan politik di Malaysia tidak stabil sejak kebelakangan ini dan adalah sukar untuk tidak menganggap lantikan itu sebagai transaksi politik yang bertujuan untuk mengekalkan rejim.

“Pemimpin UMNO yang dilantik sebagai struktur syarikat kerajaan dibuat sebelum dan selepas pemilihan parti UMNO. Ini bermakna pelantikan ini mungkin persetujuan antara UMNO dan PH (Pakatan Harapan).

“UMNO adalah salah satu parti pemerintah di Malaysia, tetapi kini pengaruh UMNO telah beransur-ansur merosot. Pelantikan ini mungkin usaha kerajaan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menstabilkan UMNO dan meluaskan pengaruh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dominic mendakwa, pendekatan kerajaan Anwar sangat tidak bertanggungjawab dan apa yang berlaku merupakan permulaan guna kuasa demi kepentingan peribadi apabila memberikan jawatan kanan kepada penyokong dan kroni mereka sahaja.

Tambahnya, pendekatan sedemikan akan menyebabkan kerajaan hilang kepercayaan dan sokongan orang ramai malah, boleh membawa kepada krisis politik.

“Sama ada disebabkan transaksi politik atau nepotisme, pelantikan ini jelas melanggar komitmen atau perjuangan kerajaan.

“Amalan ini akan membawa kepada penurunan kecekapan pengurusan kerajaan kerana mereka ini tidak dipilih secara prosedur.

“Jika pelantikan pemimpin UMNO ini didorong oleh nepotisme, maka kerajaan Anwar akan hilang kepercayaan dan sokongan orang ramai,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan campuran semasa kempen pilihan raya, telah berjanji untuk menamatkan isu lantikan politik, namun, apa yang berlaku sekarang sedang berjalan ke arah yang bertentangan.

Kerajaan sepatutnya menunaikan janji dengan tindakan praktikal, bukannya mungkir janji selepas mendapat kuasa, katanya.

Jelas beliau, ia bukan sahaja merosakkan reputasi kerajaan, tetapi juga keyakinan orang ramai bahawa kerajaan campuran sekarang ini ibarat “cakap tidak serupa bikin”.

Justeru, beliau mengingatkan Anwar dan kerajaannya, bahawa prinsip keadilan dan ketelusan mesti dipatuhi dalam mana-mana pelantikan bagi memastikan orang yang dilantik mempunyai keupayaan dan bakat yang diperlukan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kerajaan dan kepercayaan awam. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ada lagi puak2 ni.. ingat abis pru 15 semua dh masuk gua. Almaklumlah nk PRK pulak.. muncul kejap.

Comments are closed.