Tomislav Steinbruckner. Foto Facebook Terengganu FC,.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner percaya pasukannya akan menemui jalan keluar selepas dihimpit prestasi tidak menentu dalam lima perlawanan awal Liga Super musim ini.

Susulan aksi tidak memberangsangkan naib juara Piala FA 2022 yang hanya meraih satu kemenangan, pengendali dari Croatia ini menerima surat tunjuk sebab oleh pihak pengurusan tempoh hari.

Nyata ia bukanlah situasi yang diinginkan oleh beliau namun Steinbruckner tidak berputus asa dalam usaha untuk mengembalikan prestasi sebenar pasukan selain percaya Terengganu akan lebih agresif memburu kemenangan.

Jelasnya, kelemahan ketara adalah ketumpulan bahagian depan yang sukar mencari jaringan apabila setakat ini hanya mampu meraih dua gol sahaja ketika menentang Negeri Sembilan FC dan PDRM FC.

“Selepas lima perlawanan, kita sudah buat banyak analisis dan kalau tengok kepada cara pemain beraksi tidaklah begitu teruk cuma begitu sukar untuk mendapatkan gol.

“Sudah tentu saya rasa tekanan itu tetapi ini adalah normal untuk pasukan dan untuk saya sendiri sebagai jurulatih, jadi apa yang kita kena buat adalah untuk terus mencari peluang meraih tiga mata.

“Ia bukan senang namun saya tidak akan berputus asa terhadap pasukan ini, kita akan terus berusaha dan cari jalan penyelesaian bagaimana untuk meningkatkan kualiti daripada segi menjaringkan gol dan membuat keputusan di atas padang,” katanya.

Sementara itu, Steinbruckner turut mengharapkan dua pemain import iaitu Habib Haroon dan Sardor Kulmatov akan kembali cergas untuk menentang Kelantan United pada Jumaat ini susulan kecederaan yang dialami mereka ketika ini.

Haroon yang sebelum ini mengalami kecederaan ‘harmstring’ pada pra musim masih dalam kesakitan ketika sesi latihan manakala Kulmatov pula berdepan kecederaan lutut dan telah kembali berlatih pada Selasa.

“Sebelum ini Habib Haroon mengalami kecederaan harmstring ketika di Thailand dan sekarang dia masih ada rasa sakit, jadi kita harap dia dapat bersedia untuk lawan Kelantan United.

“Kulmatov pula ada mengalami kecederaan di bahagian lutut dan dia dah menjalani proses pemulihan sejak minggu lalu, tetapi dia akan sertai sesi latihan bersama pasukan.

“Kita tengok balik keadaan mereka macam mana dan sekarang pun kita dah berlatih pada waktu malam, jadi banyak nak kena jaga terutamanya dari segi kesihatan para pemain”, jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast