Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media mengenai Penghantaran Pulang Kanak-Kanak Bangladesh Yang Ditemui Dalam Kontena Di Atas Kapal Pelabuhan Klang akhirnya akan pulang ke negaranya malam ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 21 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan kertas Kabinet berhubung Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas berkenaan kini dalam proses untuk disiapkan.

Jelasnya, proses penelitian perlu dilaksanakan memandangkan projek itu telah berjalan dua tahun dari tarikh mula diberikan kontrak iaitu pada Mac 2021 dan sepatutnya siap pada Ogos 2025.

“Kami sekarang dalam proses penyediaan kertas Kabinet dan April nanti saya akan bentangkan.

“Saya mesti laporkan apa yang berlaku, bila Mac 2021 patut siap Ogos 2025, sekarang lepas dua tahun bagaimana progres. Saya tak boleh selindung satu benda pun, saya kena laporkan,” katanya dalam sesi dialog Menteri Dalam Negeri bersama media di kementeriannya, petang tadi.

Tambah Saifuddin Nasution, terdapat beberapa kekurangan dari segi kemajuan dan aspek yang melambatkannya ialah sumber manusia dan kekangan kapasiti sebagaimana yang telah dibentangkan oleh pegawai kementeriannya.

“Sebagai menteri saya perlu mendapatkan gambaran tepat mengenai apa yang berlaku terhadap sistem yang menelan perbelanjaan RM1.2 bilion tersebut.

“Saya mesti laporan apa yang berlaku, tidak boleh berselindung,” katanya.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Jemaah Menteri telah memutuskan untuk membatalkan projek NIISe yang diberikan kepada IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Laporan berkenaan menyatakan projek itu mengalami kelewatan dan hanya 10 peratus daripada projek itu siap walaupun telah ditawarkan pada 2020.

Artikel berkaitan: Kabinet batalkan kontrak IRIS Technologies kendalikan projek NIISE

Projek NIISe telah berjalan hampir dua tahun dan sepatutnya siap Ogos 2025.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut ditanya mengenai keputusan Mahkamah di Kuwait yang menjatuhkan hukuman 10 tahun terhadap perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, beliau berkata kerajaan tidak pernah berhenti mencari Jho Low.

“Usaha menjejaki dan menangkap Jho Low berterusan dilakukan.

“Malah Red Notice terhadap Jho Low tak pernah ditarik balik,” jelas Saifuddin Nasution lagi.

Media hari ini melaporkan Jho Low dijatuhkan hukuman tersebut atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Prosiding kes itu dilakukan secara tanpa kehadiran Jho Low. – MalaysiaGazette