IMBAS KEMBALI. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bergambar bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (dua kiri) dan Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud (kanan) pada Majlis Pelancaran Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri difahamkan telah membatalkan kontrak Syarikat IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd yang ditawarkan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) membabitkan kos lebih RM1 bilion di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sumber memberitahu, projek NIISe yang dikendalikan oleh syarikat itu dikatakan telah mengalami kelewatan dalam menyiapkan projek tersebut.

“Hanya kurang 10 peratus daripada projek NIISe telah disiapkan setakat ini walaupun projek itu ditawarkan pada tahun 2020. Ia juga diklasifikasikan sebagai projek ‘sakit’ disebabkan kelewatan yang berlaku dalam mempersiapkan projek ini,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette.

Malah sumber juga mendedahkan syarikat kontraktor yang ditawarkan projek NIISe telah membuat keputusan untuk menjual projek itu kerana dikatakan tidak lagi mampu meneruskannya.

Untuk projek NIISe, mengikut tempoh kontrak asalnya ia akan beroperasi sepenuhnya pada 2024 melibatkan kerajaan dengan syarikat IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd.

“NIISe dilaksanakan bagi menggantikan sistem myIMMs di Jabatan Imigresen Malaysia yang sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. terbaik.. projek billion, tapi apa sistem pun semua slow sebab PC dan komputer semua tak update. GB RAM slow. tu belum lagi alatan scanner semua. duit masuk mana billion billion tu tak tahu la.

Comments are closed.