Sulaiman Md Ali

ALOR GAJAH – Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan tiada mana-mana pihak mendesak beliau meletakkan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Selasa lalu.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu berkata, keputusan itu sudah lama difikirkan sebelum ini sebelum tiba masanya diumumkan kali ini.

“Desakan ini (letak jawatan) kerana hati saya, datangnya daripada naluri hati saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO telah mencadangkan nama Pengerusi BadanĀ  Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri baharu.

Ia bagi menggantikan Sulaiman yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepadanya di Parlimen, Selasa lalu.

Ditanya adakah wujud sebarang perjanjian antaranya dengan Zahid supaya beliau meletakkan jawatan termasuk mendapat jawatan di peringkat Pusat, Sulaiman menafikannya.

“Tak ada (perjanjian dengan Ahmad Zahid) betul…dalam bulan puasa tak boleh cakap bohong, saya cakap ikhlas. Memang saya tak mahu dah (jawatan).

“Bagilah pada orang lain pula…oh tidak (sedia ke jawatan Pusat) saya nak jaga DUN, kembali kepada kehidupan normal macam dulu,” katanya.

Menjawab soalan adakah beliau pernah mengusulkan surat peletakan jawatan kepada Ahmad Zahid sebelum ini, beliau berkata, perkara itu sudah banyak kali diberitahu kepada Timbalan Perdana Menteri itu.

“Cakap (letak jawatan dah banyak kali)…keputusan ini dah lama saya buat sebab itu dulu pun saya pernah cakap saya sepenggal cukuplah buat apa lama-lama.

“Saya harap siapa sahaja peganti (Ketua Menteri) selepas ini, kalau dia (Ab Rauf) buatlah yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette.