KUALA LUMPUR – Lama menyepi dalam dunia lakonan, Bkay Nair atau nama sebenarnya Tryambikay Vengades rupa-rupanya aktif mengadakan majlis amal untuk mengutip dana buat persatuan Sindrom Down.
Ini kerana sifat penyayang yang tinggi dan ramah dimiliki anak-anak istimewa itu membuatkan pelakon Ratu The Movie itu Bkay Nair jatuh cinta dengan golongan berkenaan.
Mencipta kelainan, wanita berusia 40 tahun tampil menganjurkan pertunjukan fesyen World Saree Day Malaysia (WSDM) dalam usaha mencari dana Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) dengan mengetengahkan model memakai sari dari kalangan golongan.
Dia yang juga penganjur program yang juga pengarah di syarikat Bkay Nair Resources (BNR) memberitahu, pada masa sama dia mahu memperkenalkan keunikan pakaian tradisional wanita India iaitu sari kepada masyarakat.
“Apa yang lebih menarik, pertunjukan fesyen sari ini turut melibatkan 10 anak Sindrom Down dan siapa sangka mereka juga pandai bergaya dan catwalk di atas pentas.
“Saya rasa puas hati dan gembiran kerana dapat melihat mereka tersenyum dan gembira beraksi bagi memenuhi impian menjadi model yang kebiasaanya melibatkan golongan selebriti.
“Malah yang membuatkan saya teruja adalah kutipan dana untuk PSDM mencapai sasaran dan hasrat mahu terus memperkenalkan kepelbagaian jenis sari juga tercapai,” katanya yang masih solo selepas bercerai pada 2018.
Mengulas lanjut, Bkya mengakui sumbangan terhadap acara amal itu belum membanggakan pertunjukan fesyen yang melibatkan selebriti, dia akan meneruskannya pada masa akan datang.
Dia tidak menolak kemungkinan pertunjukan fesyen yang melibatkan golongan Sindrom Down boleh dijadikan program tahunan dengan skala lebih besar.
BKay Nair berkata, acara itu turut mempamerkan 30 jenis sari yang berbeza dan gaya lilitan di 30 negeri di India sebagai cara untuk mendidik orang ramai tentang keunikan dan fakta menarik tentang sari.
“Terdapat pelbagai jenis di India dengan berbeza material, reka bentuk, dan gaya yang dipakai dan kami memilih untuk mendidik tentang warisan budaya sari kerana terdapat banyak fakta menarik mengenainya.
“Penyertaan komuniti sindrom down sebagai model turut dapat meningkatkan pembangunan diri mereka.
“Sumbangan yang diberikan oleh WDSM kepada PSDM adalah untuk membantu mendapatkan peralatan tambahan, perbelanjaan latihan kerjaya vokasional dan peralatan bagi membantu ahli persatuan menjadi usahawan yang berdikari dan berjaya dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, program amal itu disokong oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Kelab Bharat Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Tinggi India dengan objektif untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dan mendidik mereka tentang keunikan sari serta menyalurkan sumbangan kepada PDSM bagi menampung perbelanjaan mereka.
Turut hadir oleh Pesuruhjaya Tinggi India, Bommireddy Narasimha Reddy.
Pada majlis itu turut dipersembahkan tarian khatak tradisional yang unik juga dipersembahkan oleh Pusat Kebudayaan India Netaji Subhash Chandra Bose (NSCBICC) di mana para penari menceritakan kisah melalui mata dan ekspresi mereka. – MalaysiaGazette