Temubual bersama bekas ratu cantik negara, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam di Setapak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas ratu cantik yang juga pelakon mendakwa diperdaya dalam perkahwinannya biar pun sanggup berkorban nyawa menggugurkan kandungan anak luar nikah sebelum ini.

Shakila Saiful berkata, dia menggugurkan janin anak kembar berusia sebulan itu pada awal tahun lalu walaupun pada awalnya enggan melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Pemilik nama sebenar Nor Shakila Mohammad Saiful Islam itu memberitahu, dia melakukan perbuatan itu selepas dipujuk oleh keluarga suami dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya.

Sebelum itu dia dan suami berkahwin pada 22 Mei tahun lalu sebagai janji menggugurkan janin itu.

Namun, kata wanita berusia 27 tahun itu, pada 24 November tahun lalu, suaminya telah memfailkan cerai di mahkamah syariah iaitu kira-kira enam bulan selepas mereka berkahwin.

“Pada Januari tahun lalu, saya disahkan hamil hasil hubungan saya dengan suami saya yang pada ketika itu masih lagi merupakan teman lelaki saya.

“Dia sejak dari awal mengetahui mengenai kehamilan saya telah memujuk saya untuk menggugurkan kandungan tersebut malah kehamilan saya turut berada di dalam pengetahuan bapanya yang saya panggil walid kerana suami saya sendiri memaklumkan perkara tersebut kepada bapanya yang juga seorang tokoh agama bagi mendapatkan pandangan.

“Walaupun saya bertegas untuk tidak mengugurkan kandungan saya, suami saya telah memujuk dan meyakinkan saya perbuatan mengugurkan kandungan itu tidak haram dan beliau turut berjanji akan mengahwini saya selepas saya menggugurkan kandungan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Bekas ratu cantik negara, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam berbicang dengan peguam, Faizal Rahman mengenai kesnya di Setapak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2023.

Turut hadir peguam yang mewakilinya, Faizal Rahman.

Shakila sebelum ini pernah memenangi gelaran Miss Lumiere International World Borneo 2021, Miss India Worldwide Malaysia 2018 (Miss Beautiful Skin) dan Miss Malaysia Kebaya 2017/2018.

Gelaran lain adalah Ratu Kebaya 2017, Ratu Cheongsam 2017 dan Miss Petite Malaysia World 2016 di tempat ketiga yang juga memegang kategori Miss Popularity.

Mengulas lanjut, Shakila memberitahu, selepas enam bulan berkahwin, dia telah mengalami keguguran.

Menurut doktor yang merawatnya, dia telah mengalami chemical pregnancy yang merupakan kesan kepada pembuangan kandungan pernah dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, lapan hari selepas mengalami keguguran, suaminya telah memfailkan penceraian di mahkamah syariah atas alasan tidak munasabah sama sekali.

Katanya, gara-gara tindakan suaminya itu, dia telah mengalami depresi yang sangat teruk sehingga pernah membuat cubaan membunuh diri sebelum ini.

“Saya tidak sangka saya akan diceraikan selepas lapan hari mengalami keguguran. Lebih menyedihkan selepas penceraian difailkan, suami dan keluarganya sudah tidak memperdulikan saya dan membiarkan saya menghadapi masalah ini seorang diri.

“WhatsApp dan panggilan telefon yang saya buat langsung tidak dibalas dan dijawab,” katanya.

Temubual bersama bekas ratu cantik negara, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam di Setapak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2023.

Shakila berkata, selepas terasa diabaikan, dia cuba berhubung dengan bapa mentua di media sosial selain turut meluahkan perasaannya dan menceritakan segala cerita sebenar termasuk penguguran bayi yang pernah dilakukannya sebelum ini.

“Sebagai tindak balas kepada tindakan saya cuba mengadu nasib kepada bapa mertua sendiri, saya telah diugut oleh individu-individu tidak dikenali.

“Saya sekeluarga juga turut menerima ugutan bunuh. Selain itu, terdapat juga video yang cuba memburuk-burukkan saya di Youtube yang dimuat naik oleh individu tidak dikenali.

“Selepas menerima ugutan dan kecaman tersebut saya telah melantik peguam bagi menasihati diri saya di mana setelah itu saya difahamkan bahawa fatwa yang dirujuk oleh suami saya dan bapanya tidak terpakai kepada saya yang mengandungkan anak luar nikah pada ketika itu,” ujarnya.

Shakila mengakui dia kini berasa tertipu dengan tindakan suami dan bapa mentuanya itu.

“Jika mereka tidak menyalahgunakan fatwa Perlis dan Pahang, sudah pasti saya tidak akan menggugurkan kandungan saya yang mana doktor sendiri mengesahkan saya mengandungkan anak kembar.

“Saya bukan sahaja kehilangan anak kembar saya tetapi saya juga telah keguguran bayi yang saya kandungkan selapas perkahwinan kami.

“Tujuan saya membuat sidang media ini bukanlah untuk mengaibkan sesiapa tetapi untuk memberitahu kepada umum hal yang sebenar agar berhati-hati di dalam menerima pandangan agama daripada sesiapa pun kerana pada awal tahun ini saya dapati walid sekali lagi telah menyebarkan mengenai fatwa Perlis dan Pahang tersebut di dalam sebuah forum.

“Saya juga hendak sebarkan kefahaman bagaimana agama digunakan untuk kepentingan peribadi dan berhati-hatilah wanita di luar sana,” katanya. – MalaysiaGazette

Temubual bersama bekas ratu cantik negara, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam di Setapak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2023.

2 Komen

Comments are closed.