Sekumpulan mangsa penipuan Pelaburan Saham IPRS Planetrade yang hadir pada sidang media di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Individu-indivu yang menjadi mangsa penipuan sebuah skim pelaburan sebuah syarikat yang didakwa menggunakan nama “Planetrade” diminta membuat laporan polis dengan segera.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ia penting agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes penipuan melibatkan pelaburan bernilai puluhan juta ringgit.

Katanya, mangsa-mangsa tidak perlu bimbang meskipun terdapat ugutan daripada pihak yang mendakwa mereka akan direman jika aduan dibuat kepada pihak berkuasa.

“Kita dapat tahu yang mangsa-mangsa ini mendapat ugutan kononnya mereka akan ditangkap dan direman kerana membuat laporan kepada polis.

“Disebabkan itu ramai dalam kalangan mangsa-mangsa tidak berani untuk membuat laporan polis ekoran bimbang tindakan akan dikenakan terhadap mereka jika berbuat demikian,” katanya pada sidang media tanpa enggan menyatakan pihak yang membuat ugutan tersebut di sini, hari ini.

Mangsa penipuan Pelaburan Saham IPRS Planetrade menunjukkan laporan polis pada sidang media di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 APRIL 2023.

Menurutnya, sejak kegiatan skim pelaburan berkenaan dibongkarkan sebelum ini, MHO telahpun menerima lebih 140 aduan daripada mangsa-mangsa terlibat.

Katanya, mangsa-mangsa berkenaan telah membuat laporan namun, difahamkan lebih 300 mangsa lagi masih belum berbuat demikian kerana bimbang dengan ugutan tersebut.

Untuk rekod, difahamkan aktivit penipuan syarikat terbabit telahpun dilumpuhkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan, menggesa agar mangsa-mangsa tidak gentar untuk mengadu kepada pihak polis berhubug situasi yang dihadapi mereka.

Jelasnya, mereka tidak perlu berasa takut atau bimbang dengan sebarang bentuk ancaman daripada mana-mana pihak kerana maklumat pengadu sememangnya dilindungi.

“Saya nak tegaskan di sini agar kesemua pelabur-pelabur yang menjadi mangsa syarikat terbabit untuk membuat laporan dengan segera supaya nasib mereka dapat dibela.

“Kena buat laporan polis dan tidak mungkin mereka akan direman sebagaimana ugutan yang mungkin pernah mereka terima,” ujarnya.

Terdahulu pada sidang media itu, Hishamuddin mendedahkan syarikat terbabit didakwa melakukan perniagaan melabur di pasaran saham domestik dan juga luar negara.

Katanya, kebanyakan pelabur terdiri dalam kalangan pesara kerajaan dan swasta telah membuat pelaburan menerusi syarikat terbabit dengan mendepositkan pelaburan masing-masing bermula serendah RM30,000.

Jelasnya, ada mangsa yang menggunakan wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ada juga yang menggadai barangan kemas untuk melabur dalam skim tersebut.

“Syarikat itu pula kemudiannya telah berjanji akan memberikan dividen sebanyak empat peratus daripada jumlah pelaburan dan ia dibayar setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, masalah mula timbul apabila pelabur tidak lagi menerima sebarang bayaran dividen bermula pada Januari 2022.

Dakwanya, usaha bagi mendapatkan maklum balas daripada syarikat terbabit juga gagal sebaliknya, mangsa-mangsa hanga diberikan pelbagai alasan tidak masuk akal.

Tambahnya, pihak terbabit telah menggunakan pihak ketiga untuk berunding tetapi, malangnya semua janji hanya tinggal janji dan akhirnya para pelabur mendapat tahu pemilik syarikat yang menggunakan gelaran Datuk Seri palsu telahpun ditahan polis. – MalaysiaGazette