SEREMBAN – Memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selain setiap pemain dapat menyesuaikan diri dengan rentak permainan membawa impak kepada kemenangan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan aksi Liga Super malam tadi.

Ketua Jurulatih NSFC, K. Devan berkata, kemenangan besar empat gol oleh skuad ‘Hobin Jang Hobin’ ke atas Kelantan FC dalam satu perlawanan benar-benar menjadi perubahan besar buat pasukannya untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Dalam keadaan padang basah, perlu beri penekanan kepada kawalan bola dan memang kita ada banyak peluang untuk menjaringkan gol tapi ini adalah kali pertama kita menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.

“Saya memang cukup berpuas hati dengan (corak) permainan ini walau pun saya rasa kita boleh tambah jaringan lagi, tetapi setakat ini dapat tiga mata dan ia baik untuk pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu,  pasukan NSFC meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini  apabila mengalahkan pasukan tercorot, Kelantan FC, 4-2.

Kemenangan itu meletakkan NSFC berada di tangga ketujuh liga selepas memungut lapan mata setakat ini.

Devan berkata, walaupun pasukan telah merekodkan dua kemenangan namun ia belum boleh meletakkan NSFC di zon selesa.

Sementara itu, pengendali Kelantan FC, Choi Moon Sik yang akur dengan kekalahan tersebut mengakui pasukannya berdepan tekanan ketika bertemu pasukan tuan rumah.

“Betul (perlawanan ini memberikan) tekanan tapi kita perlu segera pulih dan meingkatkan motivasi pemain untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Kelantan FC kini menghuni tangga ke-11 liga. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast