Pengasas Syarikat Perkapalan Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy

KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia sebagai negara maritim yang strategik menjadi pemangkin kepada perkembangan industri perdagangan sejak berkurun lamanya.

Malah faktor geografi itu memberikan impak kepada kepesatan besar industri dan infrastruktur perkapalan di negara ini.

Namun selepas hampir tiga tahun negara dilanda pandemik Covid-19, industri perkapalan tetap beroperasi dengan kelangsungan aktiviti import, eksport dan pembekalan keperluan bahan mentah dengan lebih 80 peratus perdagangan dunia melalui perairan.

Data ini menjustifikasikan Malaysia menjadikan Laut China Selatan dan Selat Melaka sebagai koridor maritim utama serta zon ekonomi eksklusif.

Namun pada masa sama, pemilik syarikat Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R. Jeyenderen berharap masih banyak polisi berkaitan operasi perkapalan diperbaiki.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, Jeyenderan berkata, kerajaan yang sedang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi fokus kepada industri perkapalan.

“Kita juga ada banyak isu, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga perlu fokus. Ini juga industri yang mampu dan sebenarnya merancakkan ekonomi namun kadangkala ia terkebelakang apabila kita dikenakan dengan pelbagai syarat ketat yang bukanlah win win sebaliknya lebih menyusahkan.

“Ini juga membantutkan industri kita daripada terus ke hadapan. Pengalaman saya membabitkan perniagaan operasi kontena dan perkapalan selama lebih 28 tahun ini banyak cabarannya.

“Jangan lupa ya, pelabuhan di negara kita bukan sekadar menjadi tempat mengisi bunker bagi memenuhi keperluan kapal sebaliknya sebagai entiti bebas menghubungkan semua mod pengangkutan lengkap dengan kemudahan dan keperluan pelaut.

“Syarat, peraturan mahu pun polisi yang dikenakan ke atas industri yang sepatutnya bekerja 24 jam tujuh hari seminggu ada banyak kurangnya, pemain industri banyak yang tertekan. Ada negeri yang ‘cuti’ pada hari tertentu walhal kita sudah boleh jana pendapatan. Pendapatan ini bukan rakyat sahaja sebaliknya negara.

“Juga beri perhatian kepada kemudahan yang menjadi penghubung kepada pelabuhan kita. Contohnya seperti jalan raya bengkak bengkok serta uzur, perlulah ada penambaikkan. Laluan khas untuk motorsikal. Semua ini isu yang telah lama hantui kita.

“Sudah tiba masa untuk PM dan MOT lihat sendiri kepada polisi, peraturan dan penguatkuasaan yang sebenarnya banyak perlu diperkemaskan bagi mengelakkan terus memberikan kesan negatif kepada sosioekonomi negara kelak,” katanya.

Kata Jeyenderan lagi, sudah tiba masanya untuk mengumpulkan semua pemain industri ini duduk semeja berbincang dan berdebat tentang kelangsungan industri perairan dan perkapalan di negara ini.

“Janganlah buat tanpa langsung tidak berbincang dengan pemain industri yang lebih arif dan berpengalaman. Usah ignore kami. Ini penting jika hendak bantu rakyat kita jana pendapatan dalam keadaan krisis masih terus melanda.

“Kita semua sangat berharap isu ini akan dapat diketengahkan oleh Perdana Menteri kita. Sudah begitu lama isu ini tidak mendapat perhatian, kini banyak perkara yang sedang dilaksanakan oleh MOT, kita juga berharap perkara yang kita sedang utarakan ini mendapat perhatian.

“Kita juga harap dapat duduk semeja dengan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresan Malaysia (JIM) untuk kita bercakap dan berbincang tentang peraturan serta dikenakan kepada kita yang kadangkalanya membebankan,” tegasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pelabuhan Malaysia antara paling cekap di dunia, kata Liow

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast