Keadaan kereta mangsa remuk teruk selepas merempuh belakang sebuah lori di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu hari ini.

Mangsa, S. Vikrem Steven, 44, yang memandu kereta Proton Waja disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada anggota badan.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 4.19 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan peralatan khas namun disahkan meninggal dunia di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu hari ini.

“Sebaik tiba kita dapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas sebelum merempuh belakang sebuah lori.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan pasukan penyelamat bertindak mengeluarkannya menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pukul 4.51 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan petugas kesihatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah PGO, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan siasatan lanjut  diserahkan kepada pihak polis.

“Operasi tamat pada jam 5.04 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette