Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-kanak hari ini memutuskan untuk melaksanakan lima strategi bagi mengatasi isu pemakanan tidak seimbang dalam kalangan murid sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, lima strategi itu adalah pengukuhan tadbir urus kesejahteraan pemakanan melalui perundangan, komitmen politik dan pemegang taruh serta peningkatan kualiti dan akses perkhidmatan pemakanan bagi memerangi masalah beban berganda malpemakanan kanak-kanak.

Katanya, tiga lagi strategi adalah pemantapan persekitaran dan masyarakat yang kondusif dalam meningkatkan kesejahteraan pemakanan kanak-kanak, memperkasakan pembangunan kapasiti dan modal insan ke arah kesejahteraan pemakanan kanak-kanak serta sinergi terhadap advokasi pemakanan kanak-kanak.

“Pelan ini menyasarkan impak kepada kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun melibatkan individu, keluarga dan komuniti termasuk golongan rentan sebagai satu usaha mencegah dan mengawal masalah ini daripada terus meningkat sekaligus mengurangkan beban kerajaan menanggung kos rawatan.

“Ini termasuklah kempen kesedaran termasuk di rumah-rumah ibadat dan melibatkan lebih ramai sukarelawan dalam agenda kesihatan ini.

“Saya pasti keberhasilan pelan ini menunjukkan komitmen dan keprihatinan kerajaan untuk memerangi masalah malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak bagi melahirkan generasi yang sihat serta produktif,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa berkenaan akan bermesyuarat dengan kekerapan dua kali setahun bagi memastikan peruntukan yang disalur memberi impak positif
kepada status pemakanan kanak-kanak (bantut dan obesiti) serta akan menekankan kepada lima perkara.

Ujarnya, lima perkara itu iaitu strategi komunikasi melalui kempen secara besar-besaran, perubahan pemikiran ke arah pencegahan berbanding rawatan penyaluran peruntukan perlu tertumpu kepada program dan aktiviti pencegahan berbanding rawatan.

Tiga lagi aspek adalah penglibatan sukarelawan dalam pelaksanaan program dan aktiviti pencegahan malpemakanan, penyediaan menu di TASKA dan institusi pendidikan kanak-kanak
perlu melalui Program Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penglibatan rumah ibadah bagi menjalankan aktiviti peningkatan
kesedaran dan pengetahuan masyarakat,”ujrtnya.

Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen hari ini.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan terhadap aspek pemakanan seimbang kepada golongan muda dan belia yang akan menjadi pemacu pembangunan negara pada masa hadapan.

Sebelum ini Ahmad Zahid dilapor berkata, Kerajaan Perpaduan bercadang untuk memerangi masalah pemakanan tak seimbang dalam kalangan 5.6 juta kanak-kanak di negara ini termasuk murid prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah rendah.

Memorandum Jemaah Menteri itu dibentang dalam masa terdekat supaya penyelarasan bagi inisiatif menangani isu berkenaan dapat dilaksanakan memandangkan ia memerlukan kerjasama rentas kementerian dan agensi. – MalaysiaGazette