Harnarain Singh Gill
Harnarain Singh Gill

SUBANG JAYA – Penduduk Taman Puncak Jalil dan PUJ 2 Taman Puncak Jalil dekat sini mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan kerajaan negeri kerana berjaya mengheret pihak yang melakukan aktiviti sampah haram di kawasan penempatan mereka ke mahkamah.

Pengerusi Persatuan Penduduk PUJ2 Taman Puncak Jalil, Harnarain Singh Gill berkata, MBSJ dan kerajaan negeri telah memfailkan saman ke atas pemilik tanah serta operator yang menyebabkan pencemaran daripada aktiviti tambakan sampah haram di Bukit Serdang 5.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Menteri Besar Selangor, Ahli Parlimen Puchong (Yeo Bee Yin), Ahli Parlimen Subang (Wong Chen), ADUN Kinrara (Ng Sze Han) dan Ahli Majlis Zon 18 MBSJ (E. Mega Nathan).

“Juga terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan, MBSJ dan polis yang telah mengadakan lawatan bersepadu ke tapak perlupusan sampah tersebut.

“Kami harap pemfailan saman ini akan memberi ikhtibar kepada pemilik tanah lain di sekitar Selangor untuk tidak terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Pada Disember tahun lalu, penduduk ini terpaksa mengadu kepada media kerana hampir kecewa dengan kerajaan negeri yang gagal menangani masalah tapak pelupusan sampah haram di Seri Kembangan.

Ketika mereka mengharapkan masalah itu diselesaikan segera, kerajaan negeri pula memberi alasan berdepan halangan secara fizikal dan provokasi pihak tertentu menyebabkan usaha membasmi aktiviti pembuangan sampah haram gagal.

Namun, kata Harnarain Singh, mereka bersyukur masalah itu dapat diatasi dengan pihak terbabit berdepan tindakan undang-undang.

“Amalan ini bukan sahaja merosakkan alam sekitar, tetapi juga mempunyai kesan buruk kepada kesihatan penduduk yang tinggal berdekatan.

“Langkah ini menunjukkan keberanian dan kecekapan MBSJ dan kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan rakyat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin atas tindakan undang-undang yang diambil dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk di negeri ini terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette