Ambiga Sreenevasan

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa melangkaui kuasanya dalam siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan berkata, ia berdasarkan pengesahan surat daripada Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said kepada Shafee & Co iaitu firma guaman yang mewakili Datuk Seri Najib Razak.

Dalam surat berkenaan, Azalina merumuskan siasatan SPRM mendapati Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.

Ambiga berkata, pengesahan surat itu juga merupakan campur tangan eksekutif.

“Pada pandangan saya, campur tangan eksekutif yang jelas, melampaui bidang kuasa oleh SPRM dan rancangan licik untuk menjejaskan badan kehakiman.

“Semuanya kerana beberapa pelanggar undang-undang enggan bertanggungjawab. Adakah ini boleh diterima oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim?” soalnya menerusi Twitter.

Siasatan ke atas Hakim Nazlan oleh SPRM menyimpulkan beliau telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.

Azalina dilaporkan berkata, ini berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Februari yang dipanjangkan oleh agensi itu kepadanya untuk menjawab surat peguam Najib pada 15 Mac lepas.

Difahamkan peguam Najib telah membangkitkan pertanyaan adakah SPRM telah menulis kepada Ketua Hakim Negara, Tun Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Nazlan berhubung pengendaliannya dalam kes SRC.

Dalam surat itu juga, firma guaman berkenaan bertanya sama ada SPRM pada dasarnya membuat kesimpulan bahawa Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan.

Azalina dalam surat ketika membalas surat itu dilaporkan berkata, pihaknya bersetuju bahawa telah berlaku pelanggaran Kod Etika Hakim dan percanggan kepentingan oleh Hakim Nazlan ketika mengendalikan kes tersebut. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. ambiga seorang yg double standard bilamana pihak yg dia tidak suka cuba menegakkan kebenaran dia menyatakan bahwa terdapat campurtangan eksekutif tp berdiam diri seperti patung bila tommy thomas dan mahathir melanggat etika perlantiksn hakim malah meraikannya. inikah manusia yg bertanggungjawab dan perlu dihormati.

Comments are closed.