Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis kerana  disyaki menghina institusi diraja di dalam laman media sosial, Facebook.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan di kawasan Pendang, Kedah semalam.

“Siasatan mendapati suspek disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Institusi Beraja di Malaysia melalui akaun Facebook bernama ‘Tuk Chik’.

“Suspek telah dihadapkan di mahkamah pagi tadi dan telah dibenarkan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula hari ini hingga 9 April ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Menurut Noorsiah, suspek disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette