Muhamad Khalid Jamlus

KUALA LUMPUR – Bekas pemain Perak, Khalid berpendapat pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim hanya meluahkan pasukannya tidak setanding dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memiliki ramai pemain yang bagus.

Beliau berkata, Teong Kim mungkin rasa kecewa apabila memberi pandangan tentang kekalahan Perak yang dibelasah JDT 0-5.

“Assalamualikum selamat berbuka dan Selamat bersahur. Saya dah dengar audio Lim Teong Kim dengan media. Pendapat saya dia ingin menyuarakan hanya itu saja pemain-pemain yang ada. Dari segi pemain-pemain JDT mereka hebat tiada tandingan dengan pasukan lain.

“Aku merasakan pemain-pemain dah melakukan aksi yang terbaik pada perlawanan itu cuma perbezaan kualiti pemain JDT sangat hebat. Secara jujurnya aku dapat rasakan beliau amat kecewa dgn kekalahan tu. Walaupun hakikat pemain yang ada hanyalah pemain muda jadi mereka perlukan melalui fasa mencari kematangan dalam permainan.

“Apabila menceritakan kerjasama atau kerja keras, pastinya semua pemain dah lakukan yg terbaik. Tapi terbatas dengan kehebatan pasukan JDT. Saya mendoakan satu hari nanti Perak akan menjadi pasukan digeruni In Shaa Allah. Buang yang keruh ambil yang jernih. Selamat berjaya Perak FC,” katanya menerusi laman media sosial Facebook miliknya.

Video Teong Kim kini tular ketika memberikan ulasan selepas Perak tewas kepada JDT dalam saingan Liga Super, baru-baru ini.

Ketika ditanya apa kekurangan yang terdapat dalam pasukan Perak setelah tewas 5-0 kepada JDT dan tujuh perlawanan ketika ini, Teong Kim memberikan jawapan seolah-olah beliau menempelak wartawan yang bertanya soalan tersebut.

“Apa kekurangan Perak? Awak nampak sendiri permainan. Awak sendiri fikir. Awak bukannya tak nampak permainan. Siapa lihat dia tahu apa kekurangan kami,” katanya.

Jawapan Teong Kim itu jelas tidak digemari oleh peminat yang mana rata-rata dari mereka kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh jurulatih yang mempunyai pengalaman luas sepertinya. – MalaysiaGazette