KELANA JAYA – Golongan mualaf perlu mendapat bimbingan dan perhatian yang sepatutnya daripada masyarakat beragama Islam agar mereka tidak rasa tersisih.
Percaya kepada pendirian berkenaan maka pihak Masjid Tengku Kelana Jaya Petra sentiasa terbuka untuk mengadakan program dengan golongan mualaf.
Termasuklah program Iftar Ramadan Santuni Mualaf di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra.
Lebih kurang 200 mualaf daripada pelbagai latar belakang disantuni menerusi majlis berbuka puasa.
Menurut pegawai masjid berkenaan, Mohamat Zaki Alias program berkenaan sering diadakan sebagai inisiatif bersama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) sekitar Lembah Klang.
“Iftar Ramadan Santuni Mualaf, ini bukan program baru tapi hari ini datang satu komuniti mualaf baru mereka menceritakan program komuniti mereka yang pelbagai di bulan Ramadan ini.
“Mualaf perlu sentiasa didekati supaya mereka tidak ketinggalan mualaf dalam mencari ilmu sebab, pada awalnya mualaf mencari ilmu dan belajar tentang agama termasuk mengaji al-Quran,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Oleh kerana masjid tersebut sering didekati oleh pelbagai NGO dan komuniti mualaf maka kata Mohamat Zaki, pihaknya bakal mewujudkan Biro Mualaf yang akan berperanan membimbing golongan berkenaan.
Dalam masa yang sama kata beliau, biro tersebut akan mendekati golongan sasaran yang terdiri daripada bukan Islam untuk memperkenalkan agama tersebut dan keindahannya.
“Biro ini berperanan membimbing mereka (mualaf) dari segi agama, cara korban juga kita tunjuk selepas ini, cara sembelihan kita dedahkan kepada mualaf dan tarik non muslim datang,” jelasnya.
Terdahulu dalam majlis yang sama, seramai tiga individu melafaskan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan pendakwah bebas, Ustaz Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir.-MalaysiaGazette