KUALA LUMPUR – Konsert Satu Suara Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul untuk volume ketiga selepas lapan tahun dengan kali ini menampilkan gandingan dua penyanyi dari era berbeza iaitu Jay Jay (70-an) dan Ernie Zakri (2000-an).
Konsert yang dianjurkan bersama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd (SNP) ini merupakan kesinambungan daripada Konsert Satu Suara (2010) dan Konsert Satu Suara Vol. 2 (2015).
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 44, berkata, dia mahu menampilkan sesuatu berbeza supaya peminat dan penonton sentiasa menantikan siri konsert seterusnya setiap kali menjayakan konsert trio ini.
Kali ini, penyanyi lagu Kau Kekasihku itu memilih untuk menggabungkan penyanyi-penyanyi popular mengikut peredaran zaman.
“Sebelum ni kita sudah ada rockstar seperti Aizat dan Faizal Tahir dan koonsert kedua saya menggabungkan lagenda-lagenda tanah air.
“Kali ini saya rasa mahu mengikut era yang mana artis-artis hebat ini muncul di era mereka dengan pemilihan artis 70-an dari kumpulan Carefree
“Ernie pula memang sentiasa dalam fikiran saya, kalau dipilih untuk digabungkan dalam Satu Suara,” katanya pada sidang media baru-baru ini.
Sementara itu, konsert yang dianjurkan ini juga merupakan satu usaha bagi mendapatkan dana untuk meneruskan kerja kebajikan Yayasan Nurjiwa milik Siti dan suaminya, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa.
Ini merupakan kali keempat Yayasan Nurjiwa dengan SNP menjayakan persembahan amal selepas Konsert Satu Datuk Siti Nurhaliza (2009), Datuk Siti Nurliza Live in KLCC: Where The Heart Is (2014), Music Of The Soul: An Evening With Datuk Sri Siti Nurlaliza (2022) dan terkini Konsert Satu Suara Vol.3 (2023).
“Sebagai pengasas Yayasan Nurjiwa, saya berharap agar konsert ini dapat mengajak penonton serta peminat bersama-sama membuat kebaikan.
Konsert Satu Suara Vol. 3 adakan dipersembahkan di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, pada 13 Mei depan pada pukul 8.30 malam.
Tiket telah pun mula dijual bermula dengan harga RM288, RM388, RM488 dan RM588 di www.myticket.asia. – MalaysiaGazette