PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyiasat pelabuhan yang digunakan oleh sindiket untuk menghantar dadah jenis heroin seberat 336 kilogram (kg) dalam sebuah kontena ke Brisbane, Australia baru-baru ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti pelabuhan yang digunakan dalam penghantaran dadah itu.

“Apa-apa kargo yang daripada Malaysia, menggunakan pelabuhan kita untuk angkut bahan larangan merupakan kesalahan serius.

“MOT akan dapatkan maklumat pelabuhan mana dan siasat pelabuhan tersebut. Belum ada maklumat lagi,” katanya pada sidang media selepas  mempengerusikan  Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesahkan pihak berkuasa Australia merampas dadah heroin seberat 336 kg yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane.

Dadah tersebut dianggarkan bernilai A$268.8 juta (RM789.56 juta).

Rampasan tersebut dibuat pada 13 Mac 2023 lalu oleh Persekutuan Polis Australia.

Turut dirampas sebuah kontena yang mengandungi dua blok konkrit seberat 500 kg yang disembunyikan dengan dadah tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast