Special Branch defamation suit pontianak false claims

JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor perabot terlepas hukuman gantung selepas lelaki itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Noor Hayati Mat ke atas Wong Shee Kang, 53, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wong di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Noor Hayati berkata hasil penilaian daripada semua keterangan mendapati tiada bukti atau fakta yang relevan untuk mengaitkan tertuduh dengan dadah yang ditemukan.

“Dadah terbabit ada dalam bonet Toyota Camry milik kakak tertuduh dan walaupun tertuduh mempunyai kunci serta alat kawalan jauh, namun ia tidak boleh digunakan untuk membuka bonet kereta itu.

“Bonet itu perlu diumpil dan tertuduh juga bukan pemilik kereta berkenaan. Jarak antara kereta ditemukan dan tertuduh ditahan juga agak jauh dan memakan masa hampir 30 minit,” katanya.

Selain itu mahkamah juga mendapati tiada keterangan yang menunjukkan tertuduh berada di Jalan Saga 16 iaitu tempat kereta ditemukan di hadapan sebuah rumah.

“Selepas meneliti nota prosiding yang dihujahkan oleh kedua-dua pihak, secara maksimum mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

Wong didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 7.81 kilogram (kg) di hadapan sebuah rumah di Jalan Saga Taman Desa Cemerlang di sini, pada 3.30 petang, 30 Okt 2018.

Kontraktor perabot dan renovasi itu didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Wong turut dibebaskan bagi pertuduhan kedua, didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 19.4kg di lokasi dan waktu yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nasrudin Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.

Perbicaraan kes itu yang bermula setahun yang lalu telah mendengar 10 saksi pendakwaan memberi keterangan. – BERNAMA