Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi Malaysia-Sulucase.gov.my di Dewan Taklimat, Bangunan Putra, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 12 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Kuasa untuk memberikan pengampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah kuasa penuh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia terpulang kepada budi bicara YDPA untuk melaksanakannya.

“Saya rasa bab itu apapun kuasa Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mengikut Perkara 42 (Perlembagaan persekutuan).

“Sekarang ini tiada prosedur perundangan, sekarang adalah budi bicara YDPA.

“Jadi kita tidak boleh paksa, biar YDPA yang buat keputusan kalau mahu mengkaji,” katanya katanya selepas merasmikan laman web rasmi malaysia-sulucase.gov.my di Perdana Putra, hari ini.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil.

Azalina berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa UMNO tidak boleh memfailkan permohonan pengampunan bagi pihak Najib.

Mohamed Haniff berkata, Peraturan 113, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, memperuntukkan bahawa petisyen pengampunan hanya boleh dilakukan oleh Najib, ahli keluarga atau peguam yang dilantik oleh bekas Perdana Menteri itu dan Jabatan Penjara.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam satu kenyataan berkata, ia akan memohon pertimbangan supaya YDPA memberi pengampunan penuh kepada Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, parti itu  bertindak untuk tidak terlibat dalam perkara tersebut kerana YDPA tidak boleh dipaksa untuk menganugerahkan pengampunan kepada Najib.

“Kita (UMNO) sudah tidak terlibat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pengampunan PENJENAYAH oleh YDPA AKAN disokong oleh DAP. itu arahan yang diminta puak-puak UMNO. sokongan PENUH DAP semuga PENJENAYAH ini diberi pengampunan penuh.
    ini adalah agenda utama Negara menanda aras PERPADUAN.

Comments are closed.