Andrea Papi. foto Italy 24 news

ROME – Pihak berkuasa Itali sedang memburu seekor beruang yang membunuh seorang pelari berusia 26 tahun di wilayah timur laut Trentino minggu lalu.

Beruang betina coklat berusia 17 tahun yang membunuh Andrea Papi dikenali sebagai JJ4, selepas melalui ujian genetik.

Mangsa diserang ketika berada dalam laluan larian di bukit di tepi rumahnya.

JJ4 juga pernah menyerang bapa dan anak lelakinya pada Jun 2020.

Kerajaan wilayah itu telah mengeluarkan perintah supaya JJ4 dibunuh pada masa itu, tetapi ia telah dibatalkan oleh mahkamah.

Kali ini pihak berkuasa telah memilih untuk membunuh beruang itu.

“Kami melakukan segala yang kami mampu untuk mencari beruang itu dan memastikan keselamatan penduduk setempat,” kata Presiden Wilayah Trentino, Maurizio Fugatti.

Papi sedang berlari apabila dia diserang dan dibunuh, mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk.

Banyak pihak menggesa beruang itu untuk ditangkap dan menuntut ancangan Eropah yang dipanggil “Life Ursus” yang bertujuan untuk memperkenalkan semula beruang coklat di Alps dilihat semula.

“Penduduk kampung itu kecewa, marah,” menurut Datuk Bandar Caldes, Antonio Maini.

Insiden itu telah menghidupkan semula perdebatan tentang kewujudan bersama manusia dan hidupan liar di kawasan itu dan menimbulkan persoalan tentang cara terbaik untuk mengimbangi keperluan untuk melindungi spesies terancam dengan keselamatan penduduk.

Beruang adalah spesies yang dilindungi di Itali, dan populasinya telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana usaha pemuliharaan.

Bagaimanapun, kehadiran mereka di kawasan perumahan boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan manusia, seperti yang ditonjolkan oleh serangan itu. – Agensi