KUALA LUMPUR – Polis berjaya menangkap individu yang dikehendaki ekoran ciapan di Twitternya yang berunsurkan perkauman dan boleh menjejaskan ketenteraman baru-baru ini.

Lelaki  itu, Roslizal Razali, 46 ditahan jam 6.30 petang semalam di Kuala Lumpur.

“Rampasan sebuah telefon bimbit dan sebuah komputer riba,” kata Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan.

Menurutnya, perintah reman akan dibuat hari ini.

Individu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

Dalam masa yang sama, suspek tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Skandaguru berkata, suspek direman hari ini sebelum tindakan selanjutnya.

Untuk rekod, suspek adalah individu yang dikesan polis sejak 6 April yang lalu.-MalaysiaGazette