Paras air di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang susut mendadak disebabkan cuaca panas.
Paras air di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang susut mendadak disebabkan cuaca panas.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon bantuan segera daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan untuk mengelak krisis air di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K. Pathmanathan berkata, satu surat rasmi daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 30 Mac lalu sudah dihantar kepada Bahagian Pelaksanaan Operasi Nadma beberapa perkara berhubung permohonan tersebut.

Kata beliau, perubahan iklim menyebabkan taburan hujan rendah direkodkan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

“Ia juga menyebabkan kapasiti efektif empangan menyusut dengan ketara yang mana sehingga hari ini kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan 49.5 peratus berbanding 82.5 peratus pada 1 Januari lalu.

“Situasi sama turut dialami di Empangan Teluk Bahang yang merekodkan kapasiti 64 peratus kepada 50.7 peratus dalam tempoh sama.

“Kapasiti efektif kedua-dua empangan ini diunjurkan akan terus susut kepada tahap kritikal jika musim kemarau berlanjutan hingga Ogos nanti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Pathmanathan, Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM400,000 bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air kedua-dua empangan itu, namun tiada syarikat yang boleh memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain meminta bantuan NADMA untuk campur tangan dan memudahkan pelaksanaan operasi pembenihan awan secepat mungkin.

“Kami berharap NADMA akan mengutamakan dan memenuhi permintaan Pulau Pinang kerana operasi pembenihan awan diperlukan secepat mungkin untuk mencetuskan hujan yang akan mengisi semula kedua-dua empangan itu.

“Pulau Pinang mesti mengelak potensi krisis bekalan air yang boleh menyebabkan penderitaan kepada 1.74 juta orang dan mengganggu aktiviti sosio ekonomi yang menyumbang RM99 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar tegar pada 2021,” kata beliau. – MalaysiaGazette