Lee Kim Yew
Lee Kim Yew bercakap pada sidang media berhubung dakwaan beliau diisytiharkan muflis di sebuah hotel di Seri Kembangan, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pengasas Country Heights Holdings Bhd, Tan Sri Lee Kim Yew mendakwa beliau bukan seorang yang muflis, sekali gus menafikan berita yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Beliau turut mendakwa, pihak tertentu cuba menggunakan taktik kotor apabila menularkan dakwaan tersebut.

“Saya masih seorang ahli perniagaan yang solven di Malaysia. Sepanjang 50 tahun pengalaman saya, saya telah mengumpulkan aset ketara dan tidak ketara.

“Saya tidak memilih untuk menjadi seorang yang muflis. Saya tidak mahu menjadi muflis.

“Saya sendiri tidak pernah mengisytiharkan diri saya sebagai muflis atau memfailkan permohonan kebankrapan,” katanya dalam sidang media berhubung isu tersebut di sebuah hotel di Seri Kembangan dekat sini, hari ini.

Kim Yew menjelaskan, kes yang dihadapinya bermula apabila seorang peguam dari Amerika Syarikat (AS), Patrick Healy membuat tuntutan berjumlah RM3 juta di mahkamah timbang tara di negaranya.

Untuk rekod, Healy merupakan seorang bekas pegawai di syarikat milik Kim Yew di AS, Club Excellence Inc. yang sudah gulung tikar.

Kim Yew memberitahu, setelah mahkamah timbang tara AS membuat keputusan yang memihak kepada Healy, beliau membawa kes tersebut ke Malaysia dan menggunakan undang-undang di negara ini untuk menjadikannya seorang yang muflis.

Beliau juga hairan apabila perintah muflis dikeluarkan terhadapnya memandangkan setakat 10 April lalu, rundingan antara peguam kedua-dua pihak masih berjalan.

“Tuntutan RM3 juta itu adalah daripada seorang individu tamak yang pernah saya kenali.

“Seorang peguam dari AS yang ingkar janjinya dengan peguam yang asal selepas 26 Januari lalu. Pada 10 April, beliau menukar peguamnya,” jelasnya.

Kim Yew turut mempersoalkan siapakah yang sanggup membayar RM100 untuk memuat turun salinan keputusan carian kebankrapan daripada Jabatan Insolvensi.

“Saya serahkan kepada media di Malaysia untuk menilainya. Siapakah yang menggunakan taktik kotor ini?” soalnya.

Berdasarkan salinan dokumen yang tular itu, perintah kebankrapan terhadap Kim Yew dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Januari lalu.

Berhubung langkah seterusnya, beliau berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Kerajaan Malaysia untuk membenarkan peguamnya meneruskan rundingan dengan peguam Healy bagi menentukan jumlah bayaran yang memuaskan hati semua pihak.

“Sekiranya usaha itu tidak berhasil, saya akan memfailkan Borang Pernyataan Hal Ehwal kepada Ketua Pengarah Insolvensi, dengan mendepositkan RM3 juta kepada jabatan berkenaan bagi menguruskannya dengan Healy,” katanya.

Kim Yew juga mengesahkan beliau telah meletak jawatan dalam semua syarikat yang dimilikinya. – MalaysiaGazette