Lim Kit Siang Sian See Annuar China
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Walaupun tiada bukti wujud unsur sabotaj, kebakaran atau letupan dalam tragedi pesawat Sabah Air pada 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens wajar dijadikan pengajaran besar bagi kerajaan agar mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti.

Perkara itu dijelaskan veteran DAP, Lim Kit Siang yang turut menyifatkan pendedahan laporan akhir pesawat terhempas itu wajar diterbitkan kepada orang awam sejak 47 tahun lalu lagi.

“Pendedahan laporan akhir pesawat terhempas pada 1976 yang dikenal sebagai ‘Tragedi Double Six’, perlu dianggap pengajaran besar bagi kerajaan agar mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti.

“Laporan ini sepatutnya diterbitkan kepada orang awam sejak 47 tahun lalu memandangkan penerbitan laporan itu mendedahkan tiada unsur keselamatan awam untuk menjadi alasan ia dirahsiakan selama hampir lima dekad.

“Ini bagi menjelaskan kematian tragik Ketua Menteri Sabah, Fuad Stephens bersama tiga menteri negeri Sabah dan tujuh penumpang lain dalam penerbangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan tiada bukti menunjukkan terdapat unsur sabotaj, kebakaran atau letupan dalam tragedi pesawat Sabah Air terhempas yang telah mengorbankan Tun Fuad serta beberapa anggota Kabinet negeri itu pada 1976.

Laporan setebal 21 halaman berkaitan tragedi itu telah dinyahklasifikasi dengan rumusan  kemungkinan punca nahas disebabkan kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal yang mengakibatkan kolum kawalan tidak lagi boleh digerakkan ke hadapan, manakala bahagian muncung pesawat terangkat ke atas apabila sayapnya melepasi 25 darjah ketika hampir mendarat.

Menurut laporan itu lagi, tiada bukti wujud kerosakan pada pesawat atau sistemnya sebelum nahas kerana ia telah diselenggara mengikut jadual ditetapkan dan tiada bukti juga keadaan cuaca menyumbang kepada berlakunya tragedi tersebut.

Menurut Kit Siang, perkara itu wajar menjadi pengajaran kepada kerajaan hari ini, sama ada Kerajaan Persekutuan atau negeri untuk mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti sebagai prinsip tadbir urus baik pada setiap masa bagi mendapatkan keyakinan orang awam.

Kata beliau, klasifikasi laporan nahas Double-Six Nomad yang terjadi pada 6 Jun 1976 selama 47 tahun sebelum ini telah menimbulkan pelbagai bentuk teori konspirasi politik yang pastinya dapat dielakkan sekiranya Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara telus dan bertanggungjawab pada tahun itu.

Tambahnya, ia menjadi pengajaran bahawa kerajaan hari ini, sama ada Persekutuan atau negeri, tidak semestinya mengetahui perkara yang terbaik untuk negara.

“Apa yang sentiasa diperlukan adalah semak imbang yang bertanggungjawab,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast